KAJANG, 25 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor melepaskan 20,000 anak ikan lampam di Sungai Batangsi, Semenyih sempena program Gagasan Rumpun Selangor.
Tengku Amir Shah turut memberi makan ikan pelbagai jenis yang dipelihara dalam sungai berkenaan antaranya tengas, kelah dan sebarau menerusi program memasuki hari kedua.
Terdahulu, Baginda diiringi EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail memulakan aktiviti lasak dengan memandu kenderaan serba rupa bumi (ATV) sejauh lapan kilometer bersama 50 peserta lain.
Sepanjang laluan, Baginda menempuh pelbagai halangan termasuk laluan curam dan berbukit selain perlu merentas sungai untuk sampai ke puncak Taman Kekal Pengeluaran Makanan Batangsi.
[caption id="attachment_639551" align="aligncenter" width="703"] DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama ketika melepaskan 10 ribu ekor anak ikan pada Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor Peringkat Daerah Hulu Langat 2024 di Batangsi, Kajang pada 25 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
Baginda turut mengambil peluang menerbangkan dron bagi melihat keindahan alam sekitar selain aktiviti pertanian yang diusahakan atas tanah seluas 65.09 hektar.
Bermula semalam hingga esok, Tengku Amir Shah melawat beberapa kawasan antaranya Masjid Al-Ubudiah, Kampung Tasek Tambahan, Ampang dan Laman Medan Selera Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Pelbagai program menarik di setiap lokasi seperti klinik bola sepak serta walkabout bersama pemain Selangor FC, persembahan silat, tarian, kebudayaan, muzik jalanan, rewang dan santapan kenduri.
Gagasan Rumpun Selangor diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini meliputi beberapa agenda antaranya dasar dan lagu perpaduan.
Belanjawan Selangor 2024 memperuntuk RM4.5 juta bagi menjayakan program itu di sembilan daerah.