Oleh Zulaikha Adam
‘Aku tidak mahu pulang. Aku mahu bebas. Aku mahu hidup nomad. Aku rela pulang ke zaman ketiadaan tamadun di mana manusia hidup separuh bertelanjang tanpa rumah yang tetap, hanya berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain buat kelangsungan hidup. Aku tidak mahu memiliki rumah. Aku tidak mahu memiliki harta. Aku tidak mahu memiliki apa-apa.’
Pintu karavan berwarna teh tarik ternganga seperti mulut naga. Sejurus, seorang perempuan keluar dengan pakaian harian. Seluar slack hitam, kemeja putih, rambut yang dibiarkan tanpa sebarang ikatan dan sebentuk kaca mata tergantung di batang hidung. Pagi-pagi sebegini, rutin perempuan itu menghirup kopi sambil membaca surat khabar. Dia pernah membenci surat khabar.
Dahulu, sewaktu di sekolah menengah, dia terbaca berita teman rapatnya yang baru sahaja berpindah sekolah dirogol serta dibunuh sewaktu berjalan pulang ke rumah. Temannya itu masih berpakaian seragam sekolah. Berita itu menjadi muka hadapan di semua akhbar arus perdana ketika itu. Sejak itu, dia jijik dengan surat khabar. Dia tidak lagi membaca surat khabar. Setiap kali terpandang surat khabar, dia akan memalingkan wajah kerana terbayang temannya sedang seksa diratah oleh binatang-binatang tidak berakal.
Kini tiap-tiap pagi ada sahaja surat khabar yang sampai di luar pintu karavan. Sejak berhenti kerja sebagai pengurus pemasaran, dia memilih menjadi penulis bebas dengan nama pena yang begitu janggal agar tidak dikenali. Dia kian rapat dengan surat khabar. Tiba-tiba dia mengenali jutaan manusia dari serata dunia yang bermacam ragam dan pelbagai rupa. Dia juga dapat tahu, ramai kenalan di sekolah dan universiti dahulu sudah menjadi orang terkenal dan penting buat negara. Dia kenal benar dengan Luna. Si penipu paling licik tetapi dipandang suci di sekolah. Kini, Luna memiliki sepuluh buah badan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak aktif mengutip duit-duit masyarakat untuk disalurkan kepada yang memerlukan.
Kepimpinan Luna memang tidak disangkal lagi kerana dia memegang banyak jawatan di sekolah dahulu. Luna memang rajin membantu kawan-kawan lain, membantu guru. Malangnya, Luna kelihatan tidak dapat memimpin diri sendiri, tidak dapat mengawal nafsu sendiri, tidak dapat mengubati kebodohan sendiri. Lebih daripada tujuh kali, Luna terkantoi apabila melihat nota di tandas sewaktu peperiksaan berlangsung. Tetapi, siapalah yang akan percayakan kata-katanya jika dia melaporkan kejadian tersebut? Luna pelajar contoh yang diagung-agungkan.
‘Ha, Luna menipu dalam peperiksaan? Tidak mungkin. Tidak mungkinlah! Terang-terang kamu cemburu dengan dia.’ Dia tahu, itulah kata-kata yang bakal dilemparkan kepadanya.
Kopi hitam dihirup perlahan-lahan. Sebelum membuka lipatan surat khabar, perempuan itu sengaja menjengah keadaan sekeliling di luar karavan. Ada rak sayur-sayuran yang dipasang buat menanam pokok-pokok sayur dan buah. Ulam-ulaman juga ditanam seperti pegaga dan ulam raja dalam skala yang kecil. Hidup nomad hanya mengizinkan dia menanam semua pokok-pokok itu di dalam pasu-pasu sederhana. Nanti, jika mahu berpindah ke kawasan baharu, akan dibawanya pokok-pokok itu bersama rak-rak mudah alih. Seratus peratus daripada tumbuh-tumbuhan itu menjadi makanannya.
“Bila kau nak pulang? Rumah kita dah besar sekarang. Ayah dah ubah suai bilik, dapur dan yang paling best ada ruang gaming. Set gaming baru. Gempak!” Suara orang tergelak besar hinggap di telinga perempuan itu, lalu dia mematikan telefon bimbit dan mencampakkannya ke atas meja kopi. Terpercik kopi daripada bibir cawan.
Dia tidak akan pulang. Tidak akan.
Barangkali ayahnya lupa, video tular seorang anggota keselamatan sedang menerima rasuah sewaktu menjalankan tugas telah merobek jantungnya dengan begitu pedih. Meskipun, akhirnya video itu dikatakan sebagai video palsu dengan suntingan perisian dan aplikasi Dumbash dan ayahnya selamat daripada segala kecaman warganet serta tidak dihadapkan ke muka pengadilan, tetapi jauh di sudut hatinya, dia tahu itulah ayahnya. Sebab itu, semakin lama keluarganya semakin mewah, rumahnya bertambah besar, padahal gaji ayahnya tidak sampai tiga ribu sebulan.
Sejak itu, dia tidak mahu duduk di rumah itu lagi. Biarlah. Biarlah rumah itu kelak berubah sebesar istana, dia tetap mengharamkan sepasang kakinya singgah ke rumah yang terbina daripada hasil yang haram. Kemarahannya tidak pernah reda sewaktu membayangkan wajah ayahnya yang sanggup menyuap perut anak isteri daripada hasil yang tidak berkat. Walaupun dirinya sendiri masih tidak betul, tidak cukup sembahyang lima waktu, dia jijik dengan makanan yang terhidang di rumah.
Surat khabar dicapai dan ditatap lagi. Dia berhenti mencicip kopi kerana wajah Luna terpampang di dada akhbar siang ini dengan tajuk Pengerusi NGO Luna Didakwa Lebih 100 Tuduhan. Tangan perempuan itu pantas menyelak surat khabar ke halaman yang dikehendaki. Wajah Luna jauh berubah kini. Dahulu, sewaktu mula-mula menjadi pengerusi pelbagai NGO, kelihatan bersih dan ceria. Sekarang terlihat malap dan menyimpan banyak rahsia. Dengan tangan yang bergari besi, kes Luna tampak begitu serius.
Perempuan itu menyudahkan bacaan. Hatinya diselimuti bimbang. Bukan kerana Luna. Bukan kerana ayahnya yang masih tidak jumpa jalan keredaan. Tetapi, kerana negara tanah tumpah darahnya yang dahulu aman permai kini semakin dibarahi rasuah. Dia kesal. Terlalu ramai manusia digelapkan mata mereka oleh wang ringgit. Wang menjadi tuhan yang disembah. Wang melupakan manusia kepada Tuhan. Ironinya, dia tidak akan membenci negara sendiri. Dia akan terus membaca surat khabar setiap pagi.


