ad
AGENDA

Kelulusan, pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui perlu dilaksana secara telus, adil

27 Mac 2024, 6:27 AM
Kelulusan, pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui perlu dilaksana secara telus, adil

SHAH ALAM, 27 MAC: Pembangunan dan kelulusan projek tenaga boleh diperbaharui (TBB) di negara ini perlu dilaksanakan secara telus dan adil dengan mengikut ketetapan regulatori semasa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan kemasukan pelaburan baharu oleh syarikat Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) dan syarikat pemaju TBB lain perlu berdasarkan perancangan dan pembangunan penjanaan bekalan elektrik yang dipersetujui oleh kerajaan.

“‘Offtaker' TBB bagi syarikat pelabur ini akan ditetapkan berdasar jenis program TBB disertai pihak syarikat. Umpamanya sekiranya syarikat menyertai program 'Large Scale Solar' (LSS), maka 'offtaker' tenaga adalah pihak utiliti atau TNB.

"Jika pelabur menyertai program solar di bumbung, maka 'offtaker' tenaga di bawah program ini adalah pengguna elektrik sendiri,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika menjawab soalan Yeo Bee Yin (HARAPAN-Puchong) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah memaklumkan kerajaan juga sedang merancang dan merangka pelaksanaan akses pihak ketiga (TPA) bagi membolehkan pemaju membekalkan tenaga elektrik TBB secara terus kepada pengguna, menggunakan infrastruktur grid syarikat utiliti.

“Sekiranya syarikat menyertai program TPA kelak, maka pengguna korporat yang mempunyai ikatan kontrak dengan pemaju adalah 'offtaker' bagi TBB yang dijana,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.