SHAH ALAM, 23 MAC: Kerajaan setakat ini tiada cadangan untuk melanjutkan tempoh kemas kini maklumat individu dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang berakhir pada 31 Mac, kata menteri ekonomi.
Mohd Rafizi Ramli berkata ia bagi mematuhi jadual pelaksanaan penstrukturan semula subsidi pukal kepada subsidi bersasar yang akan dilaksana kerajaan.
“Kerajaan telah mengumumkan sebelum ini bahawa pelaksaaan subsidi bersasar akan dipertimbangkan pada suku kedua ke atas kerana apabila melihat kepada garis masa suku pertama diperlukan untuk selesaikan soal sistem sokongan untuk memberikan bantuan kepada orang ramai.
“Ini bukan soal kenapa tidak boleh lanjut dan sebagainya tetapi kerana kita kena mematuhi jadual pelaksanaan penstrukturan semula subsidi pukal,” katanya pada sesi townhall bersama Menteri Ekonomi berkaitan Padu di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.
Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau menjelaskan jika dilanjutkan ia akan memberi kesan kepada tempoh pelaksanaan subsidi bersasar.
“Jika kita lanjutkan kita akan terus (melewatkan) pelaksanaan subsidi bersasar. Contohnya untuk setiap sebulan kita tangguh pelaksaaan subsidi bersasar ini bermakna kerajaan kena menanggung sekurang-kurangnya RM2 bilion untuk subsidi minyak (petrol) pukal.
“Sedangkan jumlah RM2 bilion jika diagihkan kepada keluarga memerlukan ramai yang akan mendapat manfaat,” katanya
Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari menjadi platform tunggal maklumat individu dan isi rumah, sekali gus meningkat kecekapan pengagihan subsidi serta bantuan kepada rakyat yang benar-benar layak.
Pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang www.padu.gov.my bermula 2 Januari sehingga 31 Mac.


