AGENDA

Polis tahan suspek curi kabel di perumahan, tapak projek sekitar KL

7 Mac 2024, 6:16 AM
Polis tahan suspek curi kabel di perumahan, tapak projek sekitar KL

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Polis menahan seorang lelaki dikenali sebagai “Din Beringin” yang disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di Jinjang Utara pada Ahad lepas setelah polis menerima laporan kes kecurian kabel sebuah loji di Taman Pelangi di sini pada 28 Feb lalu.

Beliau berkata dengan tangkapan itu, polis percaya dapat menyelesaikan sembilan kes kecurian kabel di sekitar Kuala Lumpur.

Menurutnya suspek bersama seorang lagi yang masih diburu dipercayai aktif melakukan kegiatan berkenaan sejak Ogos tahun lepas dengan menyasarkan kabel, besi tembaga dan aluminium di tapak projek dan perumahan.

“Hasil barang-barang yang dicuri akan dijual semula di kedai besi buruk bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah dan mereka ini kebiasaannya sasarkan kabel yang masih bergulung dalam simpanan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Sukarno berkata polis menahan ketua kumpulan Geng Tatan pada Selasa lepas yang disyaki terlibat dalam enam kes ragut di sekitar Sentul.

Beliau berkata suspek yang direman empat hari hingga 9 Mac ini, bersama seorang lagi yang masih diburu menyasarkan pejalan kaki dan penunggang motosikal di kawasan perumahan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.