BERITA UTAMA

Berakar agama, perundangan sivil teladani prinsip syarak

23 Feb 2024, 2:00 AM
Berakar agama, perundangan sivil teladani prinsip syarak

Apabila disebut undang-undang sivil di Malaysia, apa timbul dalam fikiran umat Islam? Salah satunya ia mungkin ‘tidak Islam’ berbanding undang-undang syariah.

Tidak kurang juga menyebutnya sistem kufur atau jahiliah merujuk kebercanggahannya dengan Islam.

Tapi benarkah sudut pandang dalam isu ini hanya berlegar-legar kepada pandangan hitam-putih sebegini sahaja?

Suka atau tidak, Malaysia memiliki dua sistem perundangan. Prinsip common law diguna pakai di mahkamah sivil dalam hampir semua bidang kuasa, manakala prinsip perundangan syariah diguna pakai di mahkamah syariah sahaja.

Anggapan sesetengah pihak, Islam bertembung dengan pengalaman, pemikiran, nilai dan undang-undang tidak bersumberkan rujukan Islam.

Mereka menyangka Islam hanya mahu meruntuh semua perkara termasuk amalan perundangan, nilai akhlak dan adat sesebuah masyarakat dan tamadun.

Hakikatnya, sangkaan ini bertentangan dengan pendekatan Islam dalam pensyariatannya. Islam menolak pemikiran hitam-putih begitu.

Kata Imam Abu Ishaq al-Shatibi dalam al-Muwafaqat:

“Syariah memperakui sebahagian hukum yang telah diamalkan pada zaman jahiliah seperti diat, qasamah [sumpah bagi kes pembunuhan], berhimpun pada hari ‘arubah -iaitu jumaat- untuk mendengar pengajaran dan peringatan, pinjaman, kiswah Kaabah dan sebagainya yang dipandang terpuji oleh golongan jahiliah serta dianggap sebagai antara adat yang baik dan akhlak mulia yang diterima oleh akal. Bilangannya cukup banyak.”

Dalam bidang muamalat, syariah meneruskan banyak akad dilakukan manusia demi kemaslahatan.

Contohnya jual beli, sewa, gadaian, pinjaman dan mudarabah. Dalam masa sama, syariah turut membatalkan urusan lain seperti riba, perjudian dan pelbagai jenis jual beli yang ada unsur penipuan dan kezaliman.

Dalam bidang perkahwinan dan perceraian juga begitu. Islam menerima perkahwinan yang berlangsung hingga sekarang.

Dalam masa sama, Islam menolak perkahwinan dan perceraian yang menindas dan rosak yang diamalkan masyarakat jahiliah.

Dalam undang-undang jenayah, Islam menerima qisas, tapi menolak amalan menyeksa pembunuh dan balas dendam keluarga si mati terhadap pihak yang tidak terlibat dengan jenayah bunuh.

Disebabkan itu, menurut Imam Muhammad al-Tahir Ibn ‘Ashur dalam karyanya berjudul Maqasid al-Shari’ah al-Islamiyyah, terdapat dua prinsip penting syariah.

Pertama ialah taghyir (mengubah kerosakan dan keburukan dalam kalangan manusia). Kedua ialah taqrir (mengekalkan perkara baik dan bermanfaat kepada manusia).

Ibn ‘Ashur menambah pengamalan konsep itu bukan hanya untuk masyarakat Arab jahiliah.

Tetapi juga kepada manusia keseluruhannya, sama ada mereka dalam kalangan Arab ataupun bukan.

Syariat nabi

Sebabnya setiap masyarakat manusia pasti mempunyai sisi-sisi kebaikan yang terhasil daripada tinggalan syariat nabi-nabi terdahulu, akal yang sihat, undang-undang yang baik dan juga fitrah yang baik.

Malah Ibn ‘Ashur jelas menyebut sudut baik boleh terdapat dalam undang-undang masyarakat Mesir Purba, Yunani dan Rom.

Walhal semua itu tidak digubal menurut hujah-hujah syarak. Maksudnya, kemanusiaan itu luas, justeru sudut positifnya hendaklah diterima.

Kaedah ini turut terpakai dalam isu undang-undang sivil.

Segala peraturan yang menjaga kemaslahatan individu dan masyarakat hendaklah diterima dan tidak terus ditolak apatah lagi dilihat sebagai pertembungan.

Contohnya peraturan berkaitan jalan raya, alam sekitar, perniagaan, pendidikan dan lain-lain termasuklah yang melibatkan jenayah terutama yang tidak bertentangan dengan hukuman muktamad oleh al-Quran dan al-Sunnah.

Berdasarkan hujah-hujah diberi, maka boleh disimpulkan kebanyakan undang-undang sivil dalam negara kita juga sejajar dengan nilai Islam.

Alasannya ia digubal untuk menjaga kemaslahatan individu dan masyarakat mengikut hukum Islam meski dalam kerangka undang-undang sivil.

Tambahan pula, terdapat satu kaedah fiqh penting yang disebutkan oleh Imam al-‘Izz dalam al-Qawa’id al-Kubra iaitu:

“Kemaslahatan keduniaan diketahui menerusi pengalaman dan adat kebiasaan.”

Maksudnya, manusia boleh membuat keputusan tentang baik buruk dalam kehidupan keduniaan mereka berdasarkan pengalaman dan kebiasaan yang dilalui dalam kehidupan.

Kalau demikian, maka lebih utama kita terima kemaslahatan keduniaan yang diperoleh menerusi kajian ilmiah dan perbincangan kolektif oleh pakar-pakar.

Contohnya menerima undang-undang yang digubal oleh pakar bidang perundangan dan pelbagai bidang lain demi kemaslahatan individu dan masyarakat.

Mungkin ada sebahagiannya yang bermasalah dengan beberapa prinsip perundangan Islam.

Contohnya dalam kes yang telah ditetapkan secara spesifik hukumannya seperti zina dan qazaf. Tapi hal ini tidak menjadikan keseluruhan undang-undang ini tertolak atau tidak Islam.

Prinsip-prinsip perundangan syariah juga bersifat sejagat, justeru kita boleh lihat persamaannya dengan prinsip perundangan sivil.

Contohnya prinsip ketertinggian perlembagaan, kesamarataan di sisi undang-undang dan tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Hal ini tidak menghairankan kerana banyak kajian menunjukkan bahawa asal-usul common law itu sendiri daripada perundangan Islam.

Antaranya kajian berjudul The Islamic Origins of The Common Law oleh John A Makdisi. Beliau mengemukakan pelbagai bukti bagi menyokong hujahnya itu.

Kesimpulan ini juga menyokong idea harmonisasi antara perundangan syariah dan sivil yang dibahaskan sejak beberapa dekad oleh pakar dan pengkaji perundangan di Malaysia.

Dalam masa sama, idea ini menempelak sesetengah agamawan yang menganggap undang-undang sivil dan syariah sepenuhnya bertembung atas dakwaan kononnya ia peraturan kufur.