KUALA LUMPUR, 7 FEB: Zodiak ‘tahun naga’ ternyata memberi tuah buat seorang peniaga perhiasan rumah, apabila bakul yang diinspirasikan daripada zodiak tersebut laris dijual dalam tempoh tidak sampai tiga minggu.
Menganggapnya sebagai rezeki yang tidak disangka, Samantha Liew, 45 berkata bakul yang dianyam bersempena perayaan Tahun Baharu Cina itu dengan kartas merah mendapat sambutan bukan sahaja daripada pembeli berbangsa Cina tetapi juga kaum Melayu turut merebut peluang mendapatkan bakul edisi terhadnya itu.
“Tahun ini zodiak naga, jadi ramai pembeli yang pilih produk berkaitan dengan naga sebagai hiasan. Tidak sangka pula bakul naga yang saya buat khas sempena Tahun Baru Cina ini laku keras.
“Sejak mula dijual pada pertengahan Januari lalu, lebih 500 buah bakul naga itu habis dijual,” katanya ketika ditemui Bernama di Pasar Seni, baru-baru ini.
Selain berwarna merah, bakul berukuran kira-kira satu meter itu turut menggabungkan logam berwarna emas pada bahagian kepala dan ekor naga di bakul tersebut.
Gembira dengan sambutan yang diterima, Samantha berkata pelanggannya turut berkongsi hasil dekorasi menggunakan bakul naga itu menerusi aplikasi WhatsApp, sekali gus menjadikannya lebih bersemangat menghasilkan lebih banyak produk yang unik pada masa akan datang.
Sementara itu, peniaga kuih raya, Cili Wong (he), 38, berkata jualan tahun ini amat memberangsangkan apabila dia menerima banyak tempahan pelbagai jenis biskut, spring roll dan peanut puff sejak Disember lepas.
Cili yang meneruskan perniagaan keluarganya yang beroperasi sejak 50 tahun lalu di Petaling Street turut mengeluarkan kuih edisi terhad bersempena Tahun Baharu Cina iaitu tart berperisa matcha (teh hijau) dan buah pic.
“Memandangkan sambutan kali ini jatuh pada Februari, maka pelanggan mempunyai masa yang lebih panjang untuk berbuat persiapan berbanding sambutan tahun lepas yang jatuh pada Januari. Mungkin sebab itu, tempahan yang diterima sangat luar biasa," katanya.
Turut menerima tempahan dari luar negara termasuk Singapura, Indonesia dan China, Cili berkata tart nanas atau OngLai merupakan biskut paling laris dijual dan mendapat sambutan pelanggan hingga minggu terakhir sebelum Tahun Baharu Cina.
Tinjauan Bernama di premis lain di sekitar Petaling Street dan Pasar Seni juga mendapati ramai masyarakat Tionghua sibuk membeli barangan menyambut perayaan itu antaranya tanglung, pakaian dan perhiasan rumah bertemakan naga untuk mendapatkan ‘ong’ berdasarkan kepercayaan mereka.
Mempercayai tahun naga akan membawa nasib lebih baik dengan kemewahan dan keharmonian, pereka grafik di sebuah syarikat swasta, Low Si Ling, 25 tidak melepaskan peluang membuat persiapan tahun baharu kali ini dengan bertemakan zodiak tersebut.
Selain dinding rumah yang digantung dengan lukisan naga, botol-botol hiasan berbentuk naga turut didekorasikan di ruang tamunya untuk membangkitkan semangat naga di dalam rumah.
“Naga dianggap sebagai haiwan yang mewah dan gagah. Dalam proverb (pepatah) Cina pun banyak berkaitan dengan naga yang membawa makna positif. Oleh itu, ia dianggap haiwan yang lebih bawa 'ong',” katanya.
-BERNAMA


