ad
AGENDA

Cuepacs: Naikkan gaji penjawat awam lebih awal untuk depani kos sara hidup

21 Jan 2024, 8:56 AM
Cuepacs: Naikkan gaji penjawat awam lebih awal untuk depani kos sara hidup
Cuepacs: Naikkan gaji penjawat awam lebih awal untuk depani kos sara hidup

SUNGAI PETANI, 21 JAN: Kedudukan gaji penjawat awam pada masa ini dilihat tidak mampu menampung beban perbelanjaan, susulan peningkatan kos sara hidup yang semakin ketara kini, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat.

Beliau berkata, justeru langkah menaikkan gaji penjawat awam wajar dilaksanakan segera tanpa perlu menunggu pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

"Walaupun kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyatakan sistem ini mungkin siap hujung tahun ini namun bagi Cuepacs, sama ada siap atau tidak, ia adalah perkara baik. Tetapi kami mahu kenaikan gaji penjawat awam dinaikkan lebih awal.

"Ini kerana ramai dalam kalangan penjawat awam tidak lagi mampu menghadapi kos sara hidup yang tinggi ketika ini berbanding kedudukan gaji semasa," katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bersama Penjawat Awam Negeri Kedah Tahun 2024 di Dewan Kenangan Sultan Abdul Hamid, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di sini, hari ini.

Menurutnya, Cuepacs amat berharap peningkatan itu dapat dilaksanakan lebih awal tanpa perlu menunggu SSPA siap sepenuhnya.

[caption id="attachment_541699" align="alignleft" width="500"] Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat pada sidang media selepas Program Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus pada 21 Julai 2022. Foto BERNAMA[/caption]

"Apa yang kami cadangkan ialah kenaikan RM300 dan ia akan diselaraskan semula apabila SSPA siap kelak.

"Jika kerajaan tidak mampu, Cuepacs akan tetap meneruskan tuntutan. Mungkin bukan dalam bentuk gaji sebaliknya dalam bentuk elaun khas sistem saraan dan elaun ini akan ditutup apabila sistem siap dan pelarasan gaji diumumkan oleh kerajaan," katanya.

Menurut Adnan lagi setakat ini semua tuntutan yang dikemukakan Cuepacs dipandang secara serius oleh kerajaan.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyebut agar penjawat awam mendapat pulangan yang baik dan diberi gaji yang lebih adil dengan pekerjaan mereka.

"Semua tuntutan Cuepacs dipertimbangkan oleh kerajaan, mungkin sedikit terlewat dari segi pelaksanaan sistem saraan ini, maka disebabkan itu kami minta kenaikan gaji dibuat lebih awal," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.