AGENDA

Sindiket pendaftaran kad prabayar tumpas, dua lelaki warga asing ditahan

7 Jan 2024, 9:45 AM
Sindiket pendaftaran kad prabayar tumpas, dua lelaki warga asing ditahan

SEREMBAN, 7 JAN: Polis menumpaskan satu sindiket penipuan pendaftaran kad prabayar tidak sah beroperasi di daerah ini dan menahan dua lelaki warga asing, pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Arifai Tarawe berkata kedua-dua suspek berusia 20 dan 40 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Seremban di dua lokasi berbeza sekitar daerah berkenaan.

“Antara barangan dirampas ialah 30 set komputer riba, 17 telefon bimbit, 104 sim box (multiplexer/modem pool), pemacu pena (30), kad sim (7,315), modem internet (empat) dan network switch (tiga),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arifai berkata siasatan mendapati sindiket itu terlibat dalam kegiatan penipuan pendaftaran kad prabayar secara tidak sah yang menyasarkan pelanggan dari luar negara.

“Kumpulan ini juga disyaki berperanan sebagai pembekal kad prabayar secara dalam talian kepada ahli sindiket lain untuk digunakan bagi tujuan penipuan. Kedua-dua individu direman sehingga 10 Jan untuk siasatan,” katanya.

Menurut Arifai, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.