SHAH ALAM, 29 DIS: Tujuh keluarga yang terjejas banjir di Kuala Selangor menerima sumbangan barangan keperluan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), semalam.
Agensi itu berharap bantuan berkenaan dapat meringankan beban mangsa yang berteduh di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz, Kuala Selangor.
“Sumbangan melibatkan keperluan asas seperti susu formula dan lampin pakai buang bagi keperluan bayi dan kanak-kanak.
“Semoga dengan sumbangan ini dapatlah meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa yang terlibat akibat musibah ini,” katanya menerusi Facebook.
Sementara itu, orang ramai disaran menunaikan zakat sebelum 2023 berakhir bagi membolehkan LZS menyalurkan bantuan kepada lebih ramai orang asnaf yang memerlukan.
“Dengan masih berbaki beberapa hari lagi sebelum masuk ke tahun 2024, marilah bersama sama kita menunaikan tanggungjawab berzakat di LZS agar lebih banyak lagi keperluan asnaf dapat disantuni,” katanya.


