ad
AGENDA

Ubat antiviral Paxlovid masih berkesan rawat gejala Covid-19

13 Dis 2023, 10:52 AM
Ubat antiviral Paxlovid masih berkesan rawat gejala Covid-19

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Penggunaan ubat antiviral Paxlovid masih berkesan meskipun terdapat kemunculan varian Covid-19 baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau berkata rawatan antiviral itu boleh mengurangkan gejala Covid-19 dan mengelakkan penyakit daripada menjadi lebih teruk.

Menurutya pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi iaitu individu berusia 60 tahun dan ke atas, mempunyai daya tahan badan rendah, mempunyai apa-apa komorbid atau obesiti disaran mendapatkan rawatan Paxlovid.

“Paxlovid berkesan apabila diambil dalam tempoh lima hari daripada hari gejala bermula. Oleh itu, pesakit yang berisiko tinggi disarankan menjalani ujian sebaik sahaja mereka mempunyai gejala.

“Jika ujian Covid-19 didapati positif, sila dapatkan penilaian perubatan awal di fasiliti kesihatan yang berhampiran untuk menentukan kelayakan anda mengambil Paxlovid,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya terdapat beberapa tanggapan bahawa ubat itu tidak berkesan merawat pesakit Covid-19 dan ia disebabkan beberapa kemungkinan antaranya ubat berkenaan digunakan oleh golongan bukan berisiko.

Dr Muhammad Radzi berkata ia juga mungkin disebabkan pesakit lewat mendapatkan rawatan selain interaksi dengan ubat lain khususnya pesakit yang mengambil ubat-ubatan untuk penyakit kronik.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.