ad
AGENDA

26 juta kunjungi Malaysia setakat November, pelancong Singapura tertinggi

3 Dis 2023, 11:05 AM
26 juta kunjungi Malaysia setakat November, pelancong Singapura tertinggi
26 juta kunjungi Malaysia setakat November, pelancong Singapura tertinggi

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Sebanyak 26 juta pelancong telah direkodkan memasuki negara dari tempoh 1 Januari hingga 15 November, berdasarkan statistik terkini dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing berharap jumlah pelancong dapat ditambah berikutan pelaksanaan pengecualian visa untuk rakyat China dan India selama 30 hari bermula 1 Disember lepas.

[caption id="attachment_604300" align="aligncenter" width="745"] Menteri Pelancongan Datuk Seri Tiong King Sing. Foto BERNAMA[/caption]

"Jadi, kami berharap kita boleh mempertingkatkan (jumlah pelancong) terutama sekali seperti yang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan, visa berkecuali untuk negara China dan India," katanya kepada media selepas sesi jelajah mesra Sambutan Hari Batik Malaysia di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mengikut statistik itu, pelancong Singapura adalah tertinggi iaitu sebanyak 12,645,364 orang diikuti Indonesia (3,166,295), Thailand (2,073,162), China (1,407,471), Brunei (904,841) dan India (780,532) manakala bakinya adalah lain-lain negara.

Sementara itu, dalam usaha memperkukuhkan hubungan dua hala Malaysia-China sempena ulang tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara ke-50 pada tahun hadapan, satu siri koleksi khas batik akan diperkenalkan oleh MOTAC dan Kraftangan Malaysia.

"Kita kemungkinan buat satu reka bentuk siri koleksi khas untuk dua negara dan juga macam mana kita boleh jalankan satu tahun promosi di negara China, macam contoh mereka pun boleh promosi pakaian mereka seperti cheongsam atau material lain kepada kita," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ainu Sham Ramli berharap Jualan Rahmah Batik yang telah dilancarkan sempena Sambutan Hari Batik Malaysia hari ini dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk membeli batik pada harga kurang daripada RM100 .

"Kami mengadakan tawaran istimewa ini, hasil kerjasama dengan pengusaha-pengusaha batik agar pembeli dapat memperoleh batik pada harga mampu milik," katanya.

Beliau berkata sambutan kali ini yang berlangsung selama lima hari bermula 30 November hingga 4 Disember ini, turut menyasarkan hasil jualan sebanyak RM1 juta.

Sambutan Hari Batik Malaysia yang diadakan pada tahun ketiga ini juga merekodkan peningkatan jumlah penyertaan usahawan batik sebanyak 820 pengusaha berbanding 797 pada tahun lepas.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.