ad
AGENDA

Menteri luar G7 sokong gencatan sementara di Gaza dilanjutkan

29 Nov 2023, 11:11 AM
Menteri luar G7 sokong gencatan sementara di Gaza dilanjutkan

WASHINGTON, 29 NOV: Menteri luar dari negara Kumpulan Tujuh (G7) menyuarakan sokongan mereka supaya gencatan sementara di Gaza dilanjutkan dengan menekankan pentingnya orang awam dilindungi.

Dalam satu kenyataan bersama menteri luar G7 itu berkata segala usaha mesti dilakukan untuk memastikan bantuan kemanusiaan, termasuk makanan, air, bahan api dan bekalan perubatan sampai kepada orang awam, lapor Agensi Anadolu.

"Kami menyokong ia dilanjutkan untuk membolehkan bantuan dipertingkat selain memudahkan pembebasan semua tahanan," menurut kenyataan oleh Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom serta Amerika Syarikat dan ketua dasar luar Kesatuan Eropah Josep Borrell.

Sambil menekankan mengenai pentingnya untuk melindungi orang awam dan pematuhan undang-undang antarabangsa, menteri luar G7 itu berkata: "Kami tetap teguh dalam komitmen untuk bekerjasama dengan semua rakan kongsi di rantau ini untuk mengelak konflik daripada terus meningkat."

Mereka juga menyatakan komitmen kepada penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.

Pada lewat Isnin, Qatar mengumumkan lanjutan dua hari lagi gencatan sementara yang sebelum ini ditetapkan selama empat hari.

- BERNAMA-ANADOLU

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.