SHAH ALAM, 17 NOV: Program Jejak Eko Desa yang bakal dilaksana tahun depan akan mengenal pasti aktiviti ekonomi berpotensi tinggi bagi mengangkat ekonomi desa, kata EXCO kemajuan desa.
Datuk Rizam Ismail berkata melaluinya Kerajaan Negeri berhasrat mengangkat ekonomi desa dengan mengenal pasti ekonomi berpotensi tinggi di sesebuah kampung tradisi sebagai identiti ekonomi kampung berkenaan.
“Ia sama ada perusahaan makanan tradisional, pembuatan kraf tangan, perkhidmatan seperti ekopelancongan, pertanian dan lain-lain,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan Selangor 2024) di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Mengulas lanjut Rizam berkata bagi membantu meningkatkan kualiti kehidupan warga desa, projek intervensi untuk membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur usang dan daif khususnya balai raya dan dewan orang ramai akan diutamakan.
Selain itu, katanya Kerajaan Negeri akan memperluas pewujudan Pusat Smart Desa yang berperanan sebagai pusat sehenti untuk kegunaan warga desa bagi menggunakan perkhidmatan jalur lebar percuma.
“Ia akan dilengkapi pusat internet, kelas tambahan dan pusat komuniti yang mana setakat hari ini terdapat dua Pusat Smart Desa iaitu di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam dan Kampung Endah, Kuala Langat yang mana ia akan dirasmikan di Dewan Jubli Emas oleh Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) pada 18 November ini.
“Penyediaan pusat komuniti dan ameniti sosial termasuk kemudahan infrastruktur digital dan liputan jalur lebar percuma yang berkualiti akan terus menjadi perhatian Kerajaan Negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Rizam yang juga EXCO perpaduan berkata Gagasan Rumpun Selangor yang akan diperkenalkan tahun depan akan turut menggariskan penyusunan dan pemerkasaan institusi kepimpinan desa.
“Memandangkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kini selari Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) akan dijenamakan sebagai Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) melibatkan 373 kampung tradisi.
“Bagi menjajarkan semula punca kuasa Ketua kampung dan koordinasi yang lebih mantap, keanggotaan JPKK akan turut dikembangkan kepada tokoh berpengaruh setempat mewakili pelbagai kesatuan tempatan seperti nazir masjid dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Selain itu Kawasan Rukun Tetangga (KRT), persatuan peladang dan kepimpinan badan bukan kerajaan (NGO) yang akan mewakili kepelbagaian demografi kawasan berkenaan,” katanya.


