ad
AGENDA

Tiada laporan ugutan, ancaman susulan ketegasan Malaysia pertahan Palestin

17 Nov 2023, 9:10 AM
Tiada laporan ugutan, ancaman susulan ketegasan Malaysia pertahan Palestin

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang laporan ugutan secara langsung atau tidak langsung susulan pendirian dan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata bagaimanapun, PDRM masih mengumpul maklumat dan risikan sekiranya terdapat ancaman pihak luar berhubung perkara itu.

“Setakat ini situasi negara berada dalam keadaan baik dan terkawal,” katanya selepas menghadiri majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Inspektor Pelatih Siri 1/2023 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Razarudin berkata demikian ketika ditanya sama ada polis menerima laporan ugutan daripada mana-mana pihak berikutan kelantangan Malaysia yang berpihak kepada Palestin.

Malaysia antara negara yang lantang menggesa dunia mengambil tindakan segera untuk menamatkan serangan rejim Israel terhadap penduduk di Semenanjung Gaza, mengakibatkan kini lebih 11,000 rakyat Palestin terbunuh termasuk lebih 7,800 wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 29,000 yang lain cedera sejak 7 Oktober lalu.

Pada 24 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil mendedahkan beliau menerima banyak ugutan dari negara luar susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.

Susulan pendedahan Perdana Menteri itu, media melaporkan PDRM akan mengumpul maklumat sekiranya terdapat aktiviti membabitkan ejen perisikan Mossad di negara ini.

Terdahulu, sebanyak 538 Inspektor pelatih melibatkan 103 wanita dan 435 lelaki menamatkan Program Latihan Asas Kepolisan Inspektor hari ini selepas mengikuti latihan asas selama sembilan bulan bermula 19 Februari lalu.

Pada majlis itu, Insp Khairul Anwar Khalid diumum Pelatih Terbaik Keseluruhan manakala Insp Nurul Nadhirah Muhamad Radzi muncul Pelatih Terbaik Akademik sementara Insp Muhammad Amir Faris Basri dan Insp Dayang Siti Aishah Awang Ramli masing-masing muncul Pelatih Terbaik Latihan Luar lelaki dan wanita.

Khairul Anwar, 26, berkata minat dan sukakan cabaran mendorongnya untuk menyertai PDRM walaupun mempunyai profesion lain sebelum ini.

“Saya sama sekali tidak menyesal menyertai PDRM walaupun telah berkhidmat sebagai jurutera selama dua tahun di sebuah syarikat di Bangsar,” katanya yang berhasrat untuk sertai pasukan elit Unit Tindakhas PDRM untuk mencabar diri menjadi terbaik pada masa depan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.