Gaza sengsara dalam kemusnahan tanpa perikemanusiaan. Pemimpin dunia hanya berkata-kata tanpa aksi. Tiada doa dan irama dapat meredakan resah dan berang ini.
Sekurang-kurangnya 11,240 nyawa rakyat Gaza melayang. Seramai 4,506 kanak-kanak dan 3,027 wanita menjadi korban Zionis. Paling sedikit, 27,490 lagi termasuk 8,663 kanak-kanak cedera.
Orang kecil serata dunia berteriak menuntut keadilan buat Palestin. Solidariti juga berkumandang di media sosial termasuk lagu perjuangan dan ratapan.
Sepuluh nyanyian artis tempatan dan antarabangsa, termasuk bahasa Arab dan Inggeris, meluahkan pilu simpati berbaur semangat sebagai sokongan kepada seluruh warga Palestin.
Intifada - Rabbani
Bermaksud ‘kebangkitan’, lagu nasyid rentak kontemporari ini disusun kumpulan KRU. Lirik pula ditulis B Nury, nama pena Sohibul Fadil Sabikin, penggerak muzik nasyid pada 1990-an.
Lagu ini dimuat dalam album dengan tajuk sama dan diterbit pada 2000, tahun Intifadah kedua dilancarkan selepas 1988. Menerusi album ini, Rabbani memenangi Album Nasyid Terbaik 2002 dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Lagu Nasyid Pilihan 2001 dalam Anugerah Era.
Oh, semerbak harum, bingkisan an-Nur
berterbangan tinggi ke Intifada
oh, merentas misi risalah suci
mewangikan taman yang dicemari
Video lagu Intifada
Untukmu Palestin - Raihan
Lagu dan lirik dihasilkan oleh anggota kumpulan itu sendiri. Ia dimuat bersama sembilan lagu lain dalam album Gema Alam, diterbitkan pada akhir 2002.
Dalam lirik lagu ini, Raihan mengajak umat Islam berdoa, berzikir dan bermunajat agar membebas dan merampas semula Palestin daripada genggaman Israel.
Agar Palestin kita genggam semula
agar Palestin bebas di tangan kita
kembali damai, disirami air
kebenaran al-Quran dan sunnah
Video lagu Untukmu Palestin
Bebas Palestin - Rabbani, Inteam, Saujana & Nowseeheart
Lagu nasyid ini digubah oleh Nazrey Johani, penyanyi Raihan. Lirik susunan bersama pencipta lagu Frizdan Fizarahman. Lagu nyanyian empat kumpulan nasyid dimuat dalam album himpunan Gema Palestin, diterbitkan pada 2010.
Lagu ini membangkitkan semangat umat Islam agar berjihad dengan segala kemampuan bagi membebaskan Palestin daripada kekejaman Israel.
Wahai para pencinta keadilan
jangan gentar berjuang bersama
kezaliman yang bermaharajalela
kita gempur hingga ke hujungnya
Video lagu Bebas Palestin
Damai Yang Hilang – Nowseeheart
Dimuatkan dalam album Wahyu Pertama terbitan 1998, lagu ini bantu melonjak kumpulan ini di persada nasyid tempatan. Muziknya digubah Mujahid Ahmad dan lirik disusun Ito Lara dan Arab.
Anak-anak kecil menggoncangkan ibunya
yang lemah longlai tak lagi bernyawa
jeritan suara batinnya
tak siapa mendengarnya
Video lagu Damai Yang Hilang
Balada Seorang Gadis Kecil – Zubir Ali
Lagu dan lirik lagu puisi ini dihasilkan oleh penggubah dan penyanyi terkenal Zubir Ali pada 1983. Lagu yang menyentuh tentang pembunuhan di kem pelarian Sabra dan Shatila di Beirut, Lubnan pada tahun 1982.
Lagu itu menobatkan Zubir sebagai Pencipta Lagu Terbaik pada Pesta Lagu Malaysia 1983.
Pada suatu senja
langit Shatila
menyaksikan pembunuhan
anak kecil dan wanita
Munir ditembak
penuh luka
tapi ajalnya belum tiba
kerna Tuhan mengasihi dia
Video lagu Balada Seorang Gadis Kecil
Al-Quds Lana – Inteam
Lagu dan lirik dalam bahasa Arab digubah oleh Ibrahim Al-Ahmad. Manakala seni kata dalam bahasa Melayu ditulis oleh Fedtri Yahya.
Wahai umat Islam bertakbirlah segera
dan bawalah kain kafan dalam perjuangan
andai kecundang di perang luka
kan berganti sejuta pewira
Video lagu Al-Quds Lana
Pejuang al-Qassam – Hijjaz **
Lagu ini dinyanyikan dalam bahasa Arab dan Melayu. Lagu asal daripada briged tentera al-Qassam, sayap bersenjata Harakatul Muqawamah Islamiah (Hamas) yang diketuai Muhammad Dhif.
Beliau menerima gelaran "dhif", atau tetamu, kerana sukar dikesan dan tidak menetap di sesuatu lokasi. Lagu ini dimuatkan dalam album Keranamu Baitul Maqdis, terbitan bersama sebuah pertubuhan Islam negara ini, kira-kira 10 tahun lalu.
Ayuh maralah ke hadapan!
bersama Muhammad Dhif
dikenali tentera dunia
menuju jalan mulia
Audio lagu Pejuang al-Qassam (video dilarang di YouTube)
We Will Not Go Down (Song for Gaza) - Michael Heart
Lagu ini dihasilkan oleh ahli muzik pop rock kelahiran Syria itu 14 tahun lalu. Waktu itu, 2009, rakyat Gaza diserang Israel. Warganegara Amerika Syarikat ini dedikasikan lagu ini demi kemanusiaan dan hak asasi.
We will not go down
in the night, without a fight
you can burn up our mosques and our homes and our schools
but our spirit will never die
we will not go down
in Gaza tonight
Video lagu We Will Not Go Down
Palestine Will be Free - Maher Zain
Diterbitkan dalam album pertamanya Thank You Allah pada 2009. Sangat popular di negara ini, Maher yang berdarah Lubnan seorang penyanyi R & B dan juga soul. Ia menceritakan tentang harapan Palestin akan dibebaskan pada suatu hari nanti.
No mother, no father to wipe away my tears
that’s why I won’t cry
I feel scared but I won’t show my fears
I keep my head high
deep in my heart I never have any doubt
that Palestine tomorrow will be free
Palestine tomorrow will be free
Video lagu Palestine Will be Free
Mawtini – pelbagai penyanyi
Lagu ini diangkat daripada puisi Ibrahim Tuqan, penyair terkenal Palestin yang membangkitkan semangat menentang Britain pada 1930-an. Ia digubah pemuzik Lubnan Mohammad Flayfel.
Bermaksud “tanah airku”, Mawtini dianggap lagu tidak rasmi perjuangan rakyat Palestin sejak 1936 sehingga ia ditukar kepada lagu kebangsaan Fida’i pada 1996.
Kami tidak akan minum demi elak kematian
tidak akan khianat, seperti hamba, seperti hamba
kami enggan, kami enggan
penghinaan berlarutan, derita sepanjang hayat
Video lagu Mawtini
** keterangan dan lirik lagu ini dikemaskini daripada rencana Irama Solidariti Gaza dalam akhbar Selangorkini (edisi 16-22 November 2023)


