ad
AGENDA

Pegawai polis cedera jatuh ketinggian enam meter ketika kejar suspek

9 Okt 2023, 12:20 PM
Pegawai polis cedera jatuh ketinggian enam meter ketika kejar suspek

SHAH ALAM, 9 OKT: Seorang pegawai polis cedera di kaki selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter semasa mengejar seorang suspek yang dipercayai memiliki dadah pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang ketika Inspektor Mohammad Azrin Yazid, 32, mengetuai sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan menyerbu sebuah kedai di Taman Sri Andalas, Klang.

Beliau berkata sebaik tiba di lokasi, didapati pagar dan pintu premis itu bertutup lalu Mohammad Azrin memanjat bumbung depan dan mendapati suspek telah berlari ke bumbung rumah bersebelahan.

“Semasa hendak turun, paip dipegang Mohammad Azrin patah menyebabkan beliau terjatuh pada ketinggian kira-kira enam meter, namun beliau tetap mengejar suspek dan menahannya di koridor kedai tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hussein, pemeriksaan terhadap beg silang kecil berzip pada badan suspek menemukan dua peket plastik disyaki berisi dadah jenis syabu seberat 104.1 gram.

Beliau berkata Mohammad Azrin melakukan pemeriksaan lanjut di Hospital Pantai, Klang selepas berasa sakit pada beberapa bahagian badan dan kemudian menjalani pembedahan pada kakinya serta kini berada dalam keadaan stabil.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.