ad
AGENDA

Sukan Asia: Servis konsisten tekong kunci rampas emas Thailand

28 Sep 2023, 9:39 AM
Sukan Asia: Servis konsisten tekong kunci rampas emas Thailand
Sukan Asia: Servis konsisten tekong kunci rampas emas Thailand

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

HANGZHOU, 28 SEPT: Walaupun Thailand adalah pasukan pilihan, namun skuad sepak takraw negara tetap berpeluang mencipta kejutan dalam perlawanan akhir acara regu berpasukan di Sukan Asia Hangzhou 2022, esok.

Pengurus pasukan Sarifudin Mohd Salleh berkata senjata yang diperlukan skuad negara untuk mengatasi Thailand adalah menerusi servis konsisten yang menghasilkan mata atau sekurang-kurangnya menyukarkan pemain lawan.

Beliau berkata Thailand memiliki tekong yang bagus serta teknik bertahan yang baik.

“Jika tekong kita konsisten dan menyukarkan mereka, saya percaya itu boleh buat percaturan mereka terganggu. Kami (pengurusan) bersama barisan kejurulatihan sudah mengkaji beberapa strategi untuk berdepan cabaran Thailand,” katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, jurulatih negara Ahmad Jais Baharun enggan meletakkan tekanan kepada para pemain dan mengharapkan anak buahnya menyedari peluang terhidang untuk mencipta kejayaan membanggakan.

Beliau berkata apa yang mustahak adalah pemain harus menumpukan kepada cara pasukan bermain lebih daripada memikirkan kekuatan yang dimiliki Thailand.

“Semua pasukan nak muncul juara begitu juga kami dan Thailand yang nak pertahankan emas, namun bagi saya lebih penting adalah bagaimana cara kita bermain di final.

“Saya harap pemain dapat fokus pada final dan berikan aksi lebih baik kerana perlawanan esok berbeza daripada perlawanan kumpulan dan separuh akhir,” katanya.

Pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia Thailand memenangi emas dengan menumpaskan Malaysia di pentas final.

Perlawanan esok memberi peluang kepada para pemain untuk memperbaiki pencapaian perak dan melunaskan dendam kekalahan lepas.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.