ad
AGENDA

Jabatan Pembangunan Kanak-kanak fokus tangani isu pengabaian, penderaan

18 Sep 2023, 4:52 AM
Jabatan Pembangunan Kanak-kanak fokus tangani isu pengabaian, penderaan

PUTRAJAYA, 18 SEPT: Jabatan Pembangunan Kanak-kanak ditubuhkan berkuat kuasa 1 September lalu bagi menggantikan Bahagian Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata jabatan yang diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lalu merupakan solusi terbaik dalam menangani segera isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang semakin meruncing.

“Jabatan ini diyakini berupaya memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat khususnya kanak-kanak berlandaskan kepada lima teras utama iaitu pencegahan, pembangunan, perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian ke dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya jabatan itu telah meluluskan 169 perjawatan kontrak daripada pelbagai skim perkhidmatan dan gred untuk tahun ini bagi memastikan kecekapan dan perkhidmatan yang efektif serta profesional dapat diberikan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.

Selain itu, katanya usaha menggerakkan komuniti yang telah ditubuhkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak serta pembantu pelindung juga akan ditingkatkan di semua 105 daerah.

Nancy turut meminta orang ramai untuk terus cakna dalam melindungi kanak-kanak dan melaporkan sebarang kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak di Talian Kasih 15999 atau menerusi Whatsapp di talian 019-2615999 yang beroperasi 24 jam.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 memaklumkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak untuk memberikan perkhidmatan sokongan lebih komprehensif kepada kanak-kanak.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.