KLANG, 17 SEPT: Seorang ibu tunggal teruja apabila pertama kali berpeluang membeli aneka barangan asas yang dijual pada harga murah menerusi Jualan Ehsan Rahmah (JER).
Sebelum ini, M Ponnammal, 61, tidak dapat sertai program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu berikutan lokasi penganjuran terletak jauh dari rumahnya.
Sejurus mengetahui program terbabit dianjur berhampiran kediamannya di Jalan Kastam, Pelabuhan Klang di sini hari ini, ibu seorang cahaya mata itu segera hadir bagi membeli barangan dapur.
[caption id="attachment_603344" align="alignleft" width="379"] M Ponnammal[/caption]
“Saya tahu program ini dibuat di sini melalui kumpulan WhatsApp kawan-kawan. Jadi kali ini saya ambil kesempatan beli pelbagai barangan asas seperti ayam, telur, minyak masak dan ikan.
“Sebenarnya saya lama saya mahu beli barang dapur di program ini cuma tidak berpeluang sebab lokasinya jauh-jauh dan tiada pengangkutan untuk bergerak,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, suri rumah Nor Syazwani Ahmad Shukri, 28, berpuas hati beratur panjang bersama orang ramai demi mendapatkan barangan asas dengan harga jauh lebih murah berbanding pasaran.
“Saya tiba di sini kira-kira jam 9.15 pagi, tengok orang ramai beratur dan sempat beli ayam serta ikan. Semuanya murah-murah, paling penting segar dan berkualiti.
“Sebenarnya ini kali kedua saya datang JER, sebelum ini pernah beli barang di Pulau Indah. Diharap program ini diteruskan dengan lebih kerap,” katanya.
Operator kilang besi, S Ragu, 54, pula tidak pernah mensia-siakan peluang memberi barangan keperluan asas pada program jualan terbabit di Pandamaran.
“Seingat saya sudah lima kali dibuat di Pandamaran, cuma kali ini jauh sedikit dari rumah. Tetapi saya tetap datang walaupun kena beratur panjang semata-mata untuk dapat harga murah.
[caption id="attachment_603346" align="alignright" width="367"] Nor Syazwani Ahmad Shukri[/caption]
“Sebagai orang susah, program sebegini memang dinantikan. Saya harap ia diadakan dengan lebih banyak bagi membantu golongan seperti kami,” katanya.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).
PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.
Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS