SHAH ALAM, 13 SEPT: Reformasi Rancangan Malaysia wajar dilaksanakan dengan tidak hanya menumpu projek pembangunan oleh kerajaan semata tetapi perlu mengambil kira pembabitan pihak swasta.
Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berkata berdasarkan pengalaman merangka Rancangan Selangor Pertama (RS-1) pada 2021, beberapa inovasi dilakukan dengan menggabungkan insiatif Kerajaan Negeri dan swasta.
“Saya berharap kerajaan boleh melihat secara teliti apakah mungkin Rancangan Malaysia selepas ini melakukan beberapa anjakan yang bukan hanya menumpu kepada pembangunan projek infrastruktur oleh kerajaan sahaja.
“Ia sebaliknya menggabungkan atau mencantumkan usaha menyeluruh yang dilaksanakan oleh pihak swasta atau syarikat di luar sana,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.
Dato’ Menteri Besar berkata pendekatan itu bagi memastikan pembangunan khususnya aspek infrastruktur berskala besar seperti pelabuhan dan lebuh raya dapat digabungkan dengan inisiatif swasta.
“Ia bukan hanya dalam bentuk peswastaan tetapi gabungan bersama dengan rencana oleh pihak Kerajaan dan swasta dalam merangka bandar, kawasan perindustrian atau perkampungan baharu.
“Menerusinya dana juga digabungkan antara dana persekutuan atau negeri dan juga swasta,” katanya.
RS-1 2021-2025 menggabungkan inisiatif Kerajaan Negeri, swasta dan kerajaan pusat bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.
Kerajaan Negeri menyediakan dana RM7 bilion manakala sektor swasta membiayai kira-kira RM80 bilion bagi menjayakan RS-1.
Sementara sebanyak RM140 bilion disediakan kerajaan pusat seperti digariskan menerusi RMK-12.








