AGENDA

Kerajaan tumpu reformasi pasaran buruh, penuhi keperluan industri

11 Sep 2023, 5:36 AM
Kerajaan tumpu reformasi pasaran buruh, penuhi keperluan industri

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Kerajaan memberi tumpuan kepada mereformasikan pasaran buruh negara dengan memberi penekanan dalam menangani masalah ketidakpadanan kemahiran, menjelang tempoh akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurut laporan Kajian Separuh Penggal RMK12 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, rangka kerja kemahiran kebangsaan yang dinamik akan dibangunkan bagi menangani ketidakpadanan kemahiran dan sebagai pelengkap kepada Senarai Pekerjaan Kritikal (COL).

Rangka kerja itu akan menyediakan maklumat yang komprehensif dan terkini mengenai kemahiran yang diperlukan industri, selain menambah baik COL bagi mengenal pasti pekerjaan yang kritikal di peringkat wilayah dan negeri.

‘’Langkah ini akan membantu untuk menambah baik program peningkatan kemahiran dan latihan kemahiran semula yang berterusan sebagai sebahagian anjakan besar bakat masa hadapan dalam memenuhi keperluan industri. Ini adalah penting untuk mengurangkan guna tenaga yang tidak penuh,’’ menurut laporan itu.

Bagi menangani kekurangan tenaga kerja pula, kerajaan akan memperkenalkan inisiatif bagi menggalakkan majikan untuk menggaji golongan yang berumur 60 tahun dan ke atas, sekali gus mempersiapkan negara sebagai negara tua.

Menurut laporan itu, usaha juga akan dibuat bagi meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita dengan memudah cara penubuhan pusat jagaan kanak-kanak oleh majikan, dengan insentif cukai sedia ada dan garis panduan mengenai pusat jagaan kanak-kanak akan diselaraskan.

‘’Dalam mengatasi kekurangan tenaga kerja, kerajaan akan menggalakkan majikan untuk menggaji bekas banduan dan orang diparol, termasuk untuk menyertai program Academy in Industry (Ail).

‘’Selain itu, pelarian yang berada di negara ini dibenarkan untuk bekerja dalam sektor tertentu dalam tempoh menunggu penempatan semula ke negara ketiga. Data mengenai pelarian akan diselaraskan untuk memastikan penggajian pelarian dilaksanakan dengan lancar,’’ menurut laporan itu.

Dalam pada itu, menurut laporan itu, kerajaan bakal mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan untuk merangka mekanisme bersesuaian bagi melaksanakan model gaji progresif.

Tinjauan National Employment Returns (NER) turut dilaksanakan semula bagi mengenal pasti trend kadar upah, guna tenaga dan kemahiran yang turut merangkumi pekerja gig.

Sistem gaji yang lebih baik akan menyumbang ke arah mencapai taraf hidup wajar dan mengurangkan penghijrahan tenaga kerja mahir ke luar negara dalam jangka masa panjang, menurut laporan itu.

Laporan itu memaklumkan bagi menambah baik kebajikan pekerja, skim perlindungan sosial yang meliputi kecederaan di luar waktu bekerja dan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan akan diperkenalkan, bertujuan merapatkan jurang dalam menyediakan liputan sosial untuk pekerja.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.