ad
AGENDA

SPR: Pilihan raya kecil DUN Pelangai 7 Oktober

24 Ogos 2023, 5:29 AM
SPR: Pilihan raya kecil DUN Pelangai 7 Oktober

PUTRAJAYA, 24 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang pada 7 Oktober ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 23 September dan 3 Oktober.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, di sini bagi membincangkan tarikh penting berkaitan PRK DUN Pelangai.

PRK DUN Pelangai perlu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Selain Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, sembilan lagi terkorban dalam nahas membabitkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.