BUDAYA

Bapa dari neraka

20 Ogos 2023, 12:30 AM
Bapa dari neraka

Oleh Rien Sd

Di luar rumah, kereta menderu laju. Sesekali bunyi kimpalan di bengkel hujung rumah. Kemalangan dua hari lalu, lori menggilis sebuah kereta SUV yang dipandu seorang lelaki muda tepat menjerkah bebola matanya. Sesekali sesak, namun dia percaya bahawa tiap-tiap kejadian adalah episod pengajaran kepada mereka yang ingin mengambil iktibar.

"Bodoh, aku kata tiada, tiadalah. Kau keras kepala ni kenapa?" Matanya berhenti melilau. Telefon bimbit dilempar ke dinding. Adiknya yang bermain tidak menghirau, masih menyorong kereta mainannya.

"Kau ni ndak malukah? Sudahlah tiada apa-apa, mau lagi menambah bini!" Ibunya mendengus marah sambil melangkah ke dapur. Gelas kaca dibaling, berdesing. Kaca bertempiaran.

Hampir setiap pagi, selepas kokokan ayam di reban belakang rumah, ibu dan ayahnya bersabung dan bercakaran di dalam rumah. Setinggan yang mereka huni adalah rumah tumpang oleh neneknya. Enam bulan yang lalu, keluarganya berhijrah ke situ.

Matanya kuyu. Setiap malam pasti sukar melelapkan mata. Kepalanya berserabut dan berselirat. Sesekali fon telinga disumbat, muzik keras menghantuk jantungnya. Dua malam berturut-turut- berbeza dengan sebelum ini, dia banyak menjamah karya bingit Massace Conspiracy - dia mengulang-ulang fatwa Pink Floyd menerusi Another Brick in The Wall.

Hey, teacher, leave us kids alone!

Memetik gitar adalah terapi yang paling mujarab apabila dia ingin meredam kegundahan dan menutup mimpi buruknya selepas melihat ibu dan ayahnya semakin renggang dan surut. Anak sulung daripada empat adik beradik itu mempunyai cita-cita untuk menjadi penulis lagu, namun ia hanya menjadi cuplikan angan-angan yang masih diselit dalam buku impiannya.

"Jai, kau simpanlah gitarmu sebelum aku patahkan. Bagus kau pigi tolong nenekmu sana cuci piring di restoran, lagi bagus. Ada gaji," ayahnya berseloroh sambil memicit-micit telefon bimbitnya di atas sofa.

"Ndak aku mau kerja, aku mau belajar." Binjai menjawab, tapi suaranya perlahan. Risau dihempuk ayahnya.

"Kau jangan melawan ah. Aku terajang kau ni. Kau pikir keturunan kita ada yang jadi penyanyi pemuzik? keturunan kita ni semua kerja kontraktor, pelayan restoran. Sedar kau diri!" Ayahnya duduk bersila. Tak berbaju, bercelana pendek. Di luar, kereta sedang bersesak pulang ke rumah, senja bakal mengakhiri siang yang panjang.

"Bukan melawan, Yah. Aku bagi pandangan," dia membidas tapi diikut takut.

Ibunya di dapur, menumis sayur untuk makan malam. Jai masih memetik gitar kecilnya, pemberian bekas cikgu di sekolah lama, sebelum dipaksa berhenti oleh ayahnya.

Dia diam. Lidahnya kelu, namun jarinya masih dihayun. Lagu Booze & Glory, band skinhead yang sering diputar oleh rakan karibnya ketika di sekolah, Muk Botak - yang pernah gondrong namun dimarahi ibunya kerana tiada songkok yang muat membalut kepalanya. Bibirnya bergerak, dibuka selepas lama dikatup. Tumit kaki dihentak perlahan, kepala menunduk melihat kod.

Cause we live for the nights we can't remember, with the friend we'll never forget

Sudah sebulan dia berhenti - secara terpaksa daripada sekolah- kerana ayahnya menyuruhnya bekerja dan menjaga adiknya di rumah. Setiap hari, memori bersama teman- temannya datang mengetuk perasaan. Gundah dan sesekali dia terpaksa menyembunyikan air mata jantan, mengesatnya dengan baju.

"Yah, aku mau sekolah bah. Tolonglah. Aku masih mau belajar," satu malam, dia memecah kesunyian selepas menjamah makan malam. Ibunya menjeling, tidak menyokong. Ayahnya merayap pemetik api rokok di bawah sofa, mahu mengasap selepas sendawa.

"Keras kepala kau ni. Kenapa juga kau susah diurus ni?" Ayahnya menoleh tepat ke hitam matanya. Dia tunduk, takut dilibas tali pinggang. Dia berdiri ke dapur, menghantar pinggan kotor.

"Aku mau balas jasa sekolah, aku mau ajar kawan-kawan lain yang belum pandai," dia menjawab. Suaranya risau tapi tidak gagap.

"Ndak payah balas-balas jasa. Kau kerja sini lagi bagus, dapat kau duit." Ayahnya duduk. Pemetik api disuguh ke rokok. Asap berkepul ke siling rumah.

Jeda. Lampu rumah dipadam. Malam itu Jai menyambung tidurnya sebagai seorang petarung yang masih tumpas, namun belum tersingkir daripada pertarungan. Dia masih menyusun banyak jampi serapah untuk menyihir ayahnya untuk mengubah fikiran agar menghantarnya semula ke sekolah.

Cita-citanya lebih besar berbanding tubuhnya. Ianya menjerit, memekik dan meronta-ronta untuk ditunaikan. Potongan lirik Disember Kelabu dipapar pada skrin utama telefonnya, sebagai penguat jiwa.

Kejarlah mimpi yang tak bisa kau beli, hingga akhir nanti, hidupmu kan bererti

***

Jai, anak lelaki yang berusia 15 tahun itu tidak memegang apa-apa dokumen yang sah sebagai warga Malaysia. Lahir di Sabah dalam keluarga pemegang kad pelarian IMM13 yang hanya diiktiraf oleh UNHCR telah memangsakan dia dan adik beradiknya daripada mendapat akses pendidikan seperti kanak-kanak lain.

Walaupun begitu, dia tetap percaya bahawa pendidikan adalah nutrisi utama semua kanak- kanak di seluruh dunia. Guru-gurunya yang juga para aktivis telah melatihnya menjadi kanak-kanak yang cekal dan "hati kering", kerana dunia tidak akan berpihak kepada yang lemah. Menjadi kuat adalah rukun hidup yang utama. Merdeka, Jai!

GLOSARI:

Ndak - Tidak

Pigi - Pergi

Ndak Payah - Tidak Perlu

Mau - Mahu