PUTRAJAYA, 18 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan 5,199 kompaun bernilai lebih RM1.2 juta sepanjang bulan lalu atas kesalahan merokok.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan mengenai Pencapaian Tindakan Penguatkuasaan dan Perundangan di Bawah Undang-undang Kesihatan Awam bagi Julai tahun ini berkata, 9,837 notis kesalahan juga telah dikeluarkan melibatkan 21,429 premis.
Katanya penguatkuasaan itu dilakukan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004).
Bagi tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi, Dr Muhammad Radzi berkata 2,644 tawaran kompaun bernilai lebih RM1.3 juta dikeluarkan dengan purata RM500 bagi setiap kompaun.
“Sejumlah 249 kes didaftar untuk tindakan mahkamah dan pada masa sama 36 kes disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM171,000,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata 6,832 premis makanan diperiksa dengan 226 atau 3.31 peratus premis diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
"Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan," katanya.
- BERNAMA