SHAH ALAM, 4 OGOS: Selangor mencatat pertumbuhan tertinggi dan sumbangan terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sejak Pakatan Harapan (HARAPAN) mentadbir negeri mulai 2008.
Sumbangan KDNK tahun lalu mencapai 25.5 peratus, meningkat 0.7 peratus berbanding 2021. Nilai pertumbuhan pula 11.9 peratus, bertambah 3.2 peratus berbanding 8.7 peratus kadar nasional.
Wartawan Selangorkini mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung pencapaian itu.
Hary Abu
Tidak dinafikan pembangunan ekonomi yang semakin memberangsangkan di Selangor didorong pentadbiran yang baik, malah keuntungan daripada hasil negeri diberikan semula untuk kesejahteraan rakyat.
Kemajuan ekonomi Selangor juga dapat dinikmati rakyat dan ini dibuktikan melalui pelbagai bantuan dan inisiatif kerajaan.
Hary Abu, 51, bekerja sendiri
Mohd Azman Ismail
Sebagai rakyat Selangor, saya pastinya berbangga melihat pencapaian ekonomi negeri dan menjadi penyumbang terbesar KDNK negara.
Pentadbiran cekap dan meyakinkan mendorong lebih banyak pelaburan di negeri ini, sekali gus memberi dampak positif kepada ekonomi Selangor.
Mohd Azman Ismail, 51, mutawif
Quarol Hisham Rohmad
Saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri atas kejayaan meningkatkan KDNK kita. Selangor satu-satunya penyumbang tertinggi dalam ekonomi negara.
Saya berharap selepas ini lebih banyak manfaat yang akan diterima rakyat. Sekarang ini pun sudah banyak, tetapi mungkin boleh ditambah lagi untuk isi mana-mana yang lompong.
Quarol Hisham Rohmad, 52, jurujual
Ahmad Fardaus Abdullah
Ini satu pencapaian yang membanggakan. Saya pasti ini semua hasil kerja keras semua pihak, termasuk rakyat juga.
Saya harap prestasi baik ini dikekalkan atau dipertingkat supaya lebih ramai dapat menerima hasilnya.
Ahmad Fardaus Abdullah, 50, pesara
P Saantha
Saya kurang faham mengenai ekonomi tetapi saya tahu ia berita yang membanggakan kepada rakyat Selangor.
Saya anak jati Selangor, dan saya gembira melihat negeri ini semakin hari semakin maju bawah pentadbiran HARAPAN.
P Saantha, 36, suri rumah







