ad
ADN

Calon DUN Gombak Setia tumpu naik taraf kemudahan kampung tradisi

3 Ogos 2023, 12:30 AM
Calon DUN Gombak Setia tumpu naik taraf kemudahan kampung tradisi

OLEH AZIAN AZIZ

GOMBAK, 3 OGOS: Menaik taraf kemudahan asas di tujuh kampung tradisi antara tumpuan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia jika menang pilihan raya negeri (PRN).

Datuk Megat Zulkarnain Omardin juga menyuarakan kepada Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berhubung rancangan membina perumahan kos rendah di kawasan tersebut.

"Sekarang ini banyak anak muda di sini berhijrah ke luar terutama selepas berkahwin untuk mencari penempatan mampu milik, justeru saya akan perjuangkan perkara itu jika dipilih.

"Saya yakin jika Kerajaan Negeri sedia ada kekal memerintah, perkara ini dapat dilaksana kerana Dato' Menteri Besar mempunyai kesungguhan membantu dan memberi keselesaan kepada rakyat," katanya.

Kampung terlibat antaranya Kampung Sungai Pusu, Kampung Sungai Chinchin dan Kampung Changkat.

Dalam pada itu, pengerusi Badan Perhubungan BN negeri itu juga akan membantu menyelesaikan masalah pembuangan sampah haram di Kampung Tengah Lembah dan Gombak Jaya oleh pihak luar.

Dalam PRN yang berlangsung 12 Ogos, Megat Zulkarnain akan berdepan pencabar yang juga penyandang kerusi DUN itu Mohd Hilman Idham (Perikatan Nasional) dan Mohd Salim Mohd Ali (Bebas).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.