ad
AGENDA

Pelaburan Tesla cipta puluhan ribu peluang kerja kemahiran tinggi

14 Jul 2023, 9:26 AM
Pelaburan Tesla cipta puluhan ribu peluang kerja kemahiran tinggi

GOMBAK, 14 JULAI: Kemasukan pelaburan Tesla dijangka membuka puluhan ribu peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan merancakkan pembangunan ekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk juga meningkatkan pembangunan industri kenderaan elektronik (EV).

“Perbincangan bersama Elon Musk memberikan perkembangan baik yang bersetuju membuka ibu pejabat di Cyberjaya dan berkolaborasi di Petaling Jaya. Beliau juga bersetuju untuk berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat.

“Saya kira penyertaan syarikat SpaceX memberi perkhidmatan satelit Starlink akan mencipta puluhan ribu peluang pekerjaan,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Khairiah di sini hari ini.

Anwar yang juga menteri kewangan memaklumkan kerjasama melalui perkhidmatan satelit SpaceX akan meningkatkan kelajuan akses capaian internet dan meluas hingga ke kawasan luar bandar.

“Ini akan memberikan peluang kepada semua kawasan luar bandar, sekolah dan universiti untuk mendapatkan capaian internet pada kadar harga yang murah,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.