ad
AGENDA

Mayat ditemukan dalam bilik, rakan gagal hubungi sejak semalam

29 Jun 2023, 9:24 AM
Mayat ditemukan dalam bilik, rakan gagal hubungi sejak semalam

Ampang, 29 JUN: Tanda tanya rakan sekerja gagal dihubungi sejak semalam terungkai apabila mayat lelaki itu ditemukan dalam bilik di rumah sewanya di Taman Muda, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata polis menerima laporan penemuan mayat itu pada 8.59 pagi.

Menurutnya, polis bersama pasukan bomba dan perubatan dari Hospital Ampang ke lokasi kejadian.

"Siasatan mendapati, saksi iaitu rakan sekerja menghubungi lelaki berusia 39 tahun itu sejak petang semalam tetapi gagal.

"Berikutan itu, saksi ke bilik sewa mangsa dan mendapati pintu berkunci lalu meminta bantuan pihak bomba untuk memecahkan pintu berkenaan.

"Selepas pintu dibuka, mangsa ditemui terbaring dan tidak sedarkan diri. Pasukan perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya, lapor Harian Metro.

Mohd Azam berkata, pemeriksaan pada tubuh si mati tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Ampang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat.

Terdahulu, pasukan bomba dilaporkan menemui mayat dalam sebuah rumah kedai di Taman Muda, di sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan bagi khidmat membuka pintu rumah berkunci pada jam 9.01 pagi.

Pasukan bomba membuka pintu menggunakan peralatan khas sebelum menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan terbaring di lantai dalam bilik tidur.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.