AGENDA

Jawatankuasa perkasa mahkamah syariah ditubuh, tambah baik sistem, martabat peranan

25 Mei 2023, 4:41 AM
Jawatankuasa perkasa mahkamah syariah ditubuh, tambah baik sistem, martabat peranan

SHAH ALAM, 25 MEI: Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) ditubuh bagi memartabatkan Mahkamah Syariah selaras kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Hal Ehwal Agama Dato' Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata jawatankuasa ini berperanan memberikan syor kepada Kerajaan mengenai perkara dasar berhubung pemerkasaan Mahkamah Syariah.

“Antaranya penambahbaikan sistem dan undang-undang syariah, pengurusan, penstrukturan semula dan infrastruktur mahkamah Syariah selain pengurusan dan penstrukturan semula Jabatan Kehakiman Syariah.

"Selain itu penambahbaikan berkaitan hal ehwal penguatkuasaan dan pendakwaan Syariah serta peguam Syarie," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman yang ingin tahu usaha kerajaan dalam memartabatkan pentadbiran Mahkamah Syariah.

Mohd Na'im berkata syor lain juga termasuk membabitkan hukuman kesalahan jenayah syariah dan perlantikan hakim syari'e.

"Penambahbaikan terhadap aspek hukuman juga akan diteliti yang mana hukuman bagi kesalahan syariah tidak hanya terikat kepada denda dan penjara, tetapi diperluas kepada hukuman alternatif seperti pelaksanaan kerja sosial.

"Pelaksanaan hukuman alternatif ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia melalui Akta Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 (Akta 461)," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.