AGENDA

Lelaki ditahan tanam syabu 1.5 kilogram berhampiran sawah padi

18 Mei 2023, 1:22 AM
Lelaki ditahan tanam syabu 1.5 kilogram berhampiran sawah padi

KOTA MARUDU, 18 MEI: Seorang pengedar dadah menanam syabu di seberang sungai kecil berhampiran sawah padi di sebuah kampung di kawasan Tandek, di sini, bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun, perbuatan lelaki tempatan berusia 46 tahun itu terbongkar selepas ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu jam 3 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak, berkata hasil siasatan mendapati, suspek dipercayai aktif mengedar dadah sekitar kawasan daerah itu, Tandek dan Pitas, lapor Berita Harian.

Katanya dengan tertangkapnya suspek, polis merampas dadah jenis syabu dengan berat 1,509.0 gram bernilai RM49,500.

"Hasil soal siasat terhadap suspek, membawa penemuan 10 paket plastik lut sinar saiz sederhana dan satu bungkusan plastik lut sinar saiz besar berisi dadah jenis methamphetamine atau syabu.

"Dadah syabu seberat 1,509.0 gram itu disembunyikan dan ditanam suspek di kawasan seberang sungai kecil berhampiran sawah padi di sebuah kampung di kawasan Tandek," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zairolnizal berkata, suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Kota Marudu untuk siasatan lanjut.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama," katanya.