EXCO

Tarikh tutup permohonan geran kecil alam sekitar, teknologi hijau dilanjut seminggu lagi

7 Mei 2023, 2:50 AM
Tarikh tutup permohonan geran kecil alam sekitar, teknologi hijau dilanjut seminggu lagi

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 7 MEI: Tarikh tutup permohonan Geran Kecil Alam Sekitar (GKAS) dan Geran Kecil Teknologi Hijau (GKTH) yang sepatutnya berakhir pada 10 Mei ini dilanjutkan seminggu lagi.

EXCO Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Hee Loy Sian berkata tarikh tutup permohonan itu dilanjutkan bagi memberi peluang kepada lebih ramai peserta memohon.

Menurut beliau sehingga kini pihaknya telah menerima lebih 50 permohonan termasuk daripada organisasi dan komuniti.

"Kita tidak melakukan hebahan secara meluas kerana peruntukan RM1.3 juta yang disediakan untuk GKAS (RM500,000) dan GKTH (RM800,000) memang tidak cukup.

"Jadi kalau kita hebahkan secara besar-besaran pasti banyak yang mohon dan yang tidak dapat akan kecewa," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor 2023 di Taman Bodhi-Samadhi Vihara, Seksyen U12 di sini semalam.

Menurut Loy Sian pihaknya memberi keutamaan kepada kumpulan berpengalaman yang menghasilkan projek berinovatif dan boleh memberi impak agar objektif utama untuk mengurangkan pelepasan karbon dan pencemaran alam sekitar tercapai.

Permohonan GKAS RM10,000 dan GKTH RM20,000 mula dibuka pada 20 April lalu.

Sejak diperkenal pada 2018, sejumlah RM916,657 diperuntuk bagi GKAS membabitkan 166 penyertaan, manakala RM1.79 juta bagi GKTH (168).

Permohonan geran boleh dibuat melalui emel selangor.environmentgrant@gmail.com atau serahan tangan di Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor.

Pemakluman kelulusan permohonan geran kecil ini adalah selewat-lewatnya pada 22 Mei.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.