SEPANG, 29 APRIL: Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Sepang menarik kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung pelbagai peringkat usia, bangsa dan latar belakang.
Mahu memberi pengalaman anak perempuannya merasai sambutan Aidilfitri, Justin, 48, datang dari Cyberjaya ke lokasi program di tapak pasar pagi Pekan Salak.
[caption id="attachment_578836" align="alignleft" width="408"]
Justin dari Cyberjaya membawa anaknya ke Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Sepang di Pasar Awam Salak, Sepang pada 28 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
Akauntan itu berkata dia mahu anaknya menyaksikan sendiri kemeriahan sambutan Aidilfitri dalam program yang dianjurkan Kerajaan Negeri itu.
"Di Malaysia, kita raikan pelbagai perayaan dan banyak rumah terbuka. Saya mahu anak melihatnya supaya pada masa hadapan dia tahu dan sama-sama meraikan.
"Ini adalah tanggungjawab saya sebagai bapa," katanya ditemui pada program itu malam tadi.
Sementara itu, Nur Anis Aqilah Buhairi, 25, berkata ini pengalaman pertamanya hadir ke rumah terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri bersama suami.
[caption id="attachment_578837" align="alignright" width="407"]
Nur Anis Aqilah Buhairi datang bersama keluarga ke Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Sepang di Pasar Awam Salak, Sepang pada 28 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
"Orang ramai boleh memilih pelbagai makanan kerana banyak juadah disediakan, tidak tahu nak makan apa.
"Walaupun ramai orang tetapi keadaan persekitaran selesa kerana berdekatan dengan tandas dan surau, jadi ia mudahkan saya untuk uruskan anak yang berusia empat bulan," katanya.
Dalam pada itu, eksekutif syarikat penghantaran, Joseph, 49, berkata setiap tahun dia hadir ke rumah terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri bersama isteri dan anak-anak.
"Saya bersama keluarga mesti datang ke rumah terbuka kerana ini sahaja peluang bertemu rakan-rakan dan pemimpin secara bersemuka.
[caption id="attachment_578839" align="alignleft" width="377"]
Joseph membawa keluarga ke Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Sepang di Pasar Awam Salak, Sepang pada 28 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
"Kali ini, selain isteri dan anak saya juga bawa kakak dan adik ipar untuk sama-sama meraikan sambutan hari raya," katanya.
Terdahulu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad hadir ke Jelajah Kita Selangor Aidilfitri yang membuka tirai di daerah Sepang.
Jelajah Kita Selangor Aidilfitri berlangsung di sembilan daerah bermula di Sepang malam tadi diikuti padang awam Hulu Bernam, Hulu Selangor hari ini dan Padang Taman Sri Kerayong, Klang (esok).
Rumah terbuka negeri juga berlangsung di Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat (5 Mei), tapak pasar malam Sungai Buloh, Petaling (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).
Program tersebut diteruskan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).
[caption id="attachment_578816" align="aligncenter" width="736"]
Dato' Menteri Besar Selangor Dato' Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama tetamu Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Sepang di Pasar Awam Salak, Sepang pada 28 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
Jelajah berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain rumah terbuka, pengunjung juga dapat mengetahui pelbagai hebahan inisiatif Kerajaan Negeri melalui Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang turut disedia dan boleh dipohon segera.


