ad
AGENDA

Ahmad Zahid saran umat Islam waspada varian baharu Covid-19

21 Apr 2023, 10:19 AM
Ahmad Zahid saran umat Islam waspada varian baharu Covid-19

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan umat Islam yang menyambut Aidilfitri di seluruh negara agar berhati-hati dengan varian baharu Covid-19 iaitu XBB1.16 atau Arcturus.

“Kita harus lebih berhati-hati kerana varian baharu ini kita tidak tahu kadar jangkitannya dan ia sangat terbuka serta cepat… Saya harap kita lebih berhati-hati sambil kita bergembira (menyambut Aidilfitri),” katanya kepada pemberita ketika meninjau jualan Aidilfitri di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini hari ini.

Beliau turut menasihati warga kota yang pulang ke kampung halaman supaya berhati-hati dan fokus ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Saya harap dengan tol percuma yang diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kita harus ambil peluang ini untuk pulang ke kampung bersilaturahim dengan ibu bapa dan kaum keluarga tetapi jangan dalam kegembiraan ini, kita leka di jalan raya.

“Nyawa lebih penting dan saya harap soal keselamatan jalan raya harus diberi keutamaan selain menjalin silaturahim,” katanya.

Tinjauan Bernama di Jalan Tunku Abdul Rahman mendapati ramai warga kota mengambil peluang jualan murah yang ditawarkan oleh peniaga pada hari terakhir Ramadan.

Ahmad Zahid turut meluangkan masa menyantuni warga kota serta beramah mesra sambil berswafoto bersama pengunjung dan peniaga.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.