ad
AGENDA

Aliran trafik mulai sesak di lebuh raya utama pagi ini

20 Apr 2023, 1:05 AM
Aliran trafik mulai sesak di lebuh raya utama pagi ini

SHAH ALAM, 20 APRIL: Keadaan aliran trafik di lebuh raya utama negara meningkat tinggi sejak awal pagi ini berikutan pertambahan jumlah kenderaan susulan orang ramai bergerak ke kampung halaman masing-masing bagi sambutan Aidilfitri.

Berdasarkan Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga 8 pagi, beberapa laluan di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak didapati sesak, lapor Harian Metro.

Di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, aliran trafik tinggi dilapor dari Sungai Buaya ke Bukit Tagar; Tanjung Malim ke Behrang; Skim River ke Hentian Sebelah Ladang Bikam; Bidor ke Tapah; Tapah ke Gopeng; Terowong Menora ke Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak serta Kuala Kangsar ke R&R Bukit Gantang.

Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah timur pula trafik sesak dari Plaza Tol Gombak ke Bukit Tinggi, manakala di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) pula trafik perlahan keluar ke Plaza Tol Kuala Terengganu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMtrafik .