ad
AGENDA

Lima lelaki ditahan, pukul, campak wanita ke bawah jambatan

17 Apr 2023, 9:53 AM
Lima lelaki ditahan, pukul, campak wanita ke bawah jambatan

SHAH ALAM, 17 APRIL: Polis menahan lima lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat memukul dan mencederakan seorang wanita serta mencampakkan mangsa ke bawah Jambatan Kampung Sawah, Banting, kira-kira 30 kilometer dari sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada Khamis lalu jam 3.25 pagi, mengatakan terdengar suara orang meminta tolong di bawah jambatan itu.

Katanya wanita tempatan berumur 52 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bank tempatan itu diselamatkan orang awam yang kemudian menghantar mangsa ke Hospital Banting, selepas kira-kira sejam kejadian berkenaan.

"Hasil temu bual awal, kejadian berpunca kerana mangsa menegur tindakan suspek yang kerap membuat bising serta selalu meminum minuman keras dan mengambil dadah di dalam rumah sewa yang didiami oleh mangsa dan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata mangsa dipukul dan dicederakan dengan menggunakan senjata tajam dan rotan oleh beberapa lelaki warga tempatan kemudian dicampakkan di jambatan itu.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat membuat tangkapan terhadap lima lelaki warga tempatan pada petang hari sama di sekitar Banting dan merampas sebuah kenderaan jenis Proton Perdana dan sebatang rotan," katanya.

Katanya semua suspek berumur antara lingkungan 30-an dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah, selain tiga daripada mereka positif dadah jenis methaphetamine dan ganja.

"Kesemua suspek ditahan reman empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 364 dan 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.