ad
AGENDA

Empat individu ditahan di Perak, rampas diesel subsidi bernilai lebih RM90,000

13 Apr 2023, 8:13 AM
Empat individu ditahan di Perak, rampas diesel subsidi bernilai lebih RM90,000

IPOH, 13 APRIL: Empat individu tempatan ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menyeleweng minyak diesel bersubsidi.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata kesemua suspek ditahan di kawasan nelayan dekat Manjung bersama barangan termasuk diesel bersubsidi bernilai RM96, 279.15 dalam Ops Tiris yang dijalankan kira-kira pukul 11 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan ke atas dua premis menemui lima skid tank yang di dalamnya terdapat cecair yang disyaki minyak diesel berada di premis tersebut.

“Arahan Pengisytiharan Stok dan Mengemukakan Maklumat/Dokumen di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) telah dikeluarkan terhadap kedua-dua premis berkenaan, premis juga didapati tidak mempunyai lesen sah bagi aktiviti menjual minyak diesel secara runcit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamalludin berkata kesemua barangan dan cecair yang disyaki minyak diesel dengan anggaran 58,351 liter itu telah disita.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974, katanya.

-- BERNAMA

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.