BUDAYA

Oda untuk kondensasi

9 Apr 2023, 12:30 AM
Oda untuk kondensasi

untuk embun, dan imaginasi liar bila

angin berhaba menyentuh daun gelita

untuk musim hujan, dan anak-anak buah

dari keluarga air terperangkap bersamaku

untuk mata keduaku, dan kabur keluar kereta

kerana kita benci perhati dunia, selalunya

untuk abangmu peluh, dan proses menggigilkan

jasad. adakah sauna tempatmu menangis,

kondusif? adakah seram sejuk, wadah hantumu

menyarung sejadah dan membentuk diri?

untuk karat, peneman dalam bongkah konkrit

buat besi yang rapuh

untuk rumah pengap, aku biarkan

kamu kekal pengap

untuk muka awan, dan badan awan, dan siku awan,

dan cucuran ke atas rahmat kepalaku.

Ahmad Jambori