KLANG, 15 FEB: Lebih 2,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa menerima manfaat Jelajah Ehsan Rakyat (JER) dalam tempoh sebulan setengah tahun ini.
Penyelaras DUN Sementa Afrishah Azizi berkata program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sentiasa mendapat sambutan menggalakkan penduduk setempat.
[caption id="attachment_566601" align="alignleft" width="309"]
Penyelaras DUN Sementa Afrishah Azizi. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
“Sejak Januari tahun ini, kita adakan program jualan murah di lima lokasi dan lebih 2,000 penduduk terima manfaat. Rata-rata mereka berpuas hati dengan program kerana harga amat murah berbanding di pasaran.
“Setiap kali penganjuran, penduduk sanggup datang seawal jam 8 pagi untuk menunggu giliran dan lokasi sering menjadi tumpuan di kawasan kampung yang penduduknya padat,” katanya.
Beliau ditemui pada program jualan murah di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda, di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau memaklumkan orang ramai turut berharap supaya jumlah barangan yang dibawa dapat ditambah kerana ia tidak mencukupi.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.
Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.


