OLEH AZIAN AZIZ
SHAH ALAM, 15 FEB: Penduduk di sekitar SS2/13 Petaling Jaya kini boleh beriadah dengan lebih selesa selepas projek naik taraf kemudahan di taman awam kawasan berkenaan selesai dijalankan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 2 Februari lalu.
Wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata kerja menaik taraf tersebut yang bermula 26 September lalu sepatutnya siap pada 2 Januari namun tertangguh sebulan akibat masalah cuaca.
Menurut beliau, antara kemudahan yang dinaik taraf ialah gelanggang bola keranjang, gelanggang badminton serta laluan pejalan kaki sepanjang 600 meter.
"Selain itu taman permainan yang dipindahkan dicat semula dan dipasang lantai EPDM (getah sintetik) baharu manakala akses untuk pelawat orang kurang upaya (OKU) turut disediakan.
"Tiga set peralatan senaman juga dipasang dan bagi memastikan kebersihan tiga tong sampah baharu diletakkan di taman itu," katanya.
Sehubungan itu Yi Wei berharap kemudahan yang dinaik taraf itu akan menggalakkan penduduk bersenam lebih kerap.
"Kami juga berterima kasih kepada pihak MBPJ atas kerja-kerja menaik taraf dan menggesa penduduk menjaga kebersihan persekitaran supaya lebih ramai pengunjung akan datang dan menikmati rutin senaman mereka," katanya.