PBT

1,500 pengunjung sambutan Tahun Baharu Cina MBSJ terima kupon makanan percuma

12 Feb 2023, 9:24 AM
1,500 pengunjung sambutan Tahun Baharu Cina MBSJ terima kupon makanan percuma

SUBANG JAYA, 12 FEB: Seramai 1,500 pengunjung terawal sambutan Tahun Baharu Cina Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) 2023 malam ini menerima kupon makanan bernilai RM10 secara percuma.

Timbalan Datuk Bandar MBSJ Mohd Zulkurnain Che Ali berkata kupon berkenaan digunakan pengunjung untuk membeli makanan dan minuman di kendera saji yang disediakan sempena sambutan itu.

“Majlis malam ini berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 2,000 pengunjung dengan pelbagai acara disediakan.

“Pada hari ini (semalam), MBSJ turut mengambil inisiatif menyumbangkan 20 set Kotak Iltizam Prihatin MBSJ kepada golongan B40 berbangsa Tionghoa yang dikenalpasti di bawah kawasan pentadbiran MBSJ.

“Selain itu, MBSJ turut menyerahkan sumbangan cek bernilai RM500 kepada dua badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Orang Cacat Cina Malaysia dan Joy To The World Community Services selain pemberian angpau kepada warga emas dan komuniti B40,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sambutan Tahun Baharu Cina MBSJ 2023 di Dewan Serbaguna MBSJ Batu 14, Puchong di sini, malam tadi.

Turut hadir EXCO Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Kampung Baru Ng Sze Han, EXCO Perpaduan Dr Siti Mariah Mahmud dan Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin.