Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 12 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyorkan agar jabatan dan agensi di bawah kelolaannya mengadakan program bersifat lebih interaktif berhubung peranan dimainkan mereka kepada orang ramai.
Timbalan Menterinya berkata program larian ‘IMR 123 Fun Run’ dianjurkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dilihat medan terbaik memperkenalkan peranan dimainkan institusi itu yang melaksanakan penyelidikan kesihatan awam.
Lukanisman Awang Sauni berkata program terbabit bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat namun secara tidak lansung perkenalkan IMR dan penyelidikan dilakukan kepada orang ramai.
“Sudah pasti tidak semua mengenali institusi ini justeru saya yakin bila peserta muat naik aktiviti disertai di media sosial ia secara tidak langsung perkenalkan jenama IMR.
“Jadi saya sarankan agar agensi di bawah KKM anjur program bersesuaian bertemakan kesihatan termasuk di pinggir dan luar bandar bagi perkenalkan jenama serta produk KKM,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas larian ‘IMR 123 Fun Run’ yang diadakan sempena program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini.