ad
AGENDA

Dana RM300,000 bangun kajian perubahan iklim

26 Nov 2022, 6:48 AM
Dana RM300,000 bangun kajian perubahan iklim

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 26 NOV: Dana RM300,000 disediakan bagi menjalankan pembangunan kajian dan Dasar Perubahan Iklim Selangor merangkumi tindakan pelaksanaan secara bersepadu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya mengambil serius isu perubahan iklim dan cuaca ekstrem yang menyebabkan banjir, tanah runtuh selain bahaya baru seperti gelombang haba, peningkatan aras laut dan kehilangan biodiversiti.

Beliau menambah integrasi tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang dibuat bagi meningkatkan daya tahan masyarakat melalui dasar yang bakal dibangunkan sebagai panduan kepada Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan.

Katanya, kajian tertumpu kepada tindakan memperkukuh pembangunan negeri sehingga 2030 dengan mengambil kira pelbagai aspek perubahan iklim bagi memaksimum sosio-ekonomi yang saksama dan kelestarian ekosistem.

Amirudin berkata ia meliputi pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar serta sumber air akan terus dilaksanakan dalam konteks pembangunan lestari yang bertonggak pembangunan ekonomi, sosial dan perlindungan alam sekitar.

"Justeru itu, Kerajaan Negeri memperuntuk RM800,000 untuk program pemuliharaan dan kesedaran alam sekitar. Manakala bagi pemuliharaan sungai dan pantai, Kerajaan Negeri akan memperuntuk RM400,000," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.