AGENDA

Belanjawan 2023: Dana RM3 juta jaya program bina, baik pulih rumah

25 Nov 2022, 10:37 AM
Belanjawan 2023: Dana RM3 juta jaya program bina, baik pulih rumah

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 25 NOV: Dana RM3 juta diperuntuk untuk melaksanakan Program Bina Baharu dan Baik Pulih Rumah Kerajaan Prihatin pada tahun depan, kata Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata inisiatif tersebut antara usaha untuk membantu golongan kurang berkemampuan menghuni kediaman sendiri dengan lebih selesa dan selamat.

"Peruntukan tahun depan meningkat sebanyak RM2 juta berbanding peruntukan tahun ini iaitu sebanyak RM1 juta sahaja.

"Selain itu, sebanyak RM4.25 juta diperuntukkan tahun depan untuk program dan projek di bawah Pembangunan Desa dan Ekonomi Kampung Tradisi.

"Kerajaan Negeri masih memberi penekanan kepada pembangunan insan melalui pemeliharaan identiti kampung tradisi yang menjadi adat dan budaya setempat melalui program kemasyarakatan," katanya dalam pembentangan belanjawan 2023 hari ini.