ad
AGENDA

Istana Bukit Kayangan istana negeri pertama terima sijil perakuan bomba

12 Nov 2022, 6:04 AM
Istana Bukit Kayangan istana negeri pertama terima sijil perakuan bomba

SHAH ALAM, 12 NOV: Istana Bukit Kayangan, di sini menjadi istana negeri pertama di Malaysia yang memperoleh Sijil Perakuan Bomba.

Majlis penyerahan sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid kepada Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani di Dewan Sutera Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya semalam.

JBPM Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan Pengarahnya, Norazam Khamis menyanjung tinggi usaha Kerajaan Negeri Selangor dan hasrat pihak istana dalam mengambil langkah meningkatkan keselamatan kebakaran di Istana Bukit Kayangan.

Pada majlis sama, JBPM juga menganugerahkan beberapa pangkat sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan kepada individu yang menunjukkan prestasi cemerlang serta jasa bakti dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat khususnya di Selangor.

Pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) diberikan kepada Mohamad Munir dan Setiausaha Dewan di-Raja Selangor Hanafisah Jais manakala Setiausaha Sulit kepada Pengerusi Yayasan Sultan Abdul Aziz Shah, Baba Jace @ Fong Jia Jin menerima pangkat Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat).

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.