KUALA SELANGOR, 27 OGOS: Dato' Menteri Besar menyeru rakyat terus bersatu padu dan menghayati erti kemerdekaan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 tahun ini.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata sempena sambutan itu, rakyat berbilang bangsa dan agama diminta terus bersemangat sebagai satu muafakat besar.
"Saya tidak mahu sebut keluarga itu ini lah... keluarga di mulut tetapi tindakan lain. Kerajaan Selangor tidak cakap kita keluarga tetapi tindakannya adil dan saksama kepada semua.
"Ini kerana bila sebut merdeka, Hari Kebangsaan sebagai rakyat Malaysia kita dapat layanan yang sama dan hidup sebagai satu kelompok. Tidak perlu rasa takut sebagai kumpulan minoriti kerana semua dijamin oleh perlembagaan dan hak dalam negara," katanya hari ini.
Terdahulu, beliau hadir ke program Pakatan Harapan (HARAPAN) Indian Road Show di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) di sini semalam.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 peringkat negeri dijadual berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada jam 8 malam, 30 Ogos.
Sambutan diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya persembahan artis terkenal Erni Zakri dan Black Hanifah, perarakan dan perbarisan, tarian pelbagai bangsa, koir, kawad senyap, tempur tanpa senjata serta pertunjukan bunga api.
Tahun ini, Selangor memilih tema #KitaSelangorTeguhBersama yang membawa maksud kebersamaan dan keberanian rakyat di pelbagai peringkat dalam menghadapi cabaran.
Tema sempena sambutan kemerdekaan peringkat negeri merupakan refleksi rakyat yang sentiasa membangunkan antara satu sama lain.


