AGENDA

Menang PRU 2018, HARAPAN dedah pemimpin korup, seret ke pengadilan

26 Ogos 2022, 4:04 AM
Menang PRU 2018, HARAPAN dedah pemimpin korup, seret ke pengadilan

BANGI, 26 OGOS: Kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum (PRU) 2018 membawa perubahan besar terhadap negara selepas enam dekad ditadbir Barisan Nasional (BN).

Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil berkata kesan kemenangan itu dapat dilihat dengan jelas apabila kebobrokan oleh beberapa pemimpin utama didedahkan dan dibawa ke muka pengadilan.

“HARAPAN menang pada 2018 beri berubahan besar. Buat pertama kali kita lihat dengan jelas betapa rosaknya sistem negara. Ramai yang ambil kesempatan.

“Kalau pengundi tidak lakukan perubahan pada waktu itu, kita tidak dapat lihat apa yang berlaku. Rafizi Ramli (timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat) bongkar semuanya. Kita berjaya kembalikan keyakinan awam bahawa undi mereka adalah keramat,” katanya.

Beliau berucap pada program pertama Jelajah Tolak BN PN di Bangi malam tadi, yang turut dihadiri Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohammad Sabu serta timbalannya Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Pada PRU ke-14, HARAPAN yang ketika itu disertai Parti Keadilan Rakyat, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia meraih 113 kerusi, menewaskan BN yang menang 79 kerusi.

Bagaimanapun, kerajaan dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad hanya bertahan selama 22 bulan susulan konflik yang timbul membabitkan beberapa ahli parlimen.