ad
AGENDA

Lebih ramai perasuah dihadap ke muka pengadilan jika HARAPAN dapat mandat rakyat

26 Ogos 2022, 1:25 AM
Lebih ramai perasuah dihadap ke muka pengadilan jika HARAPAN dapat mandat rakyat

HULU LANGAT, 26 OGOS: Pakatan Harapan (HARAPAN) berharap rakyat terus kekal memberi undi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang supaya lebih ramai perasuah dapat didakwa.

Timbalan presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata sekiranya HARAPAN menjadi kerajaan, isu integriti akan ditekankan selain membela nasib rakyat dan negara.

“Dengan undian, kita dapat hukum penjenayah (rasuah) dan ramai lagi boleh didakwa kerana salah guna kuasa termasuk mereka yang masih menjadi menteri.

“Kalau rakyat tak beri kuasa pada PRU 2018, tak mungkin kita dapat dakwa mereka yang terlibat. Jadi tolong beri sekali lagi mandat kepada kami,” kata Datuk Seri Salahuddin Ayub pada program pertama Jelajah Tolak BN PN di Bangi, malam tadi.

Turut hadir Ketua Penerangan HARAPAN Fahmi Fadzil dan Presiden AMANAH Mohammad Sabu.

Salahuddin yakin HARAPAN mampu mentadbir negara jauh lebih cemerlang kerana memiliki pasukan kepimpinan yang baik.

“Selama 22 bulan memerintah, sehingga malam ini tiada seorang pun antara kami dihadapkan ke mahkamah. Sebabnya kami insaf apabila mendapat mandat rakyat,” katanya.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Bekas perdana menteri itu dibawa ke Penjara Kajang bagi proses dokumentasi dan dijangka akan menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.