ad
AGENDA

Pengasuh didakwa penyebab kematian bayi tiga bulan

25 Ogos 2022, 6:19 AM
Pengasuh didakwa penyebab kematian bayi tiga bulan

SHAH ALAM, 25 OGOS: Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengabaikan bayi berusia tiga bulan sehingga menyebabkan kematian di Putrajaya, awal bulan ini.

Nor Malisa Mansor, 39, yang dihadapkan di di hadapan Hakim Izralizam Sanusi didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 31 (5) (b) akta sama, lapor portal Berita Harian.

Jika sabit kesalahan, dia boleh denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita berkenaan sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas bayi itu melalukan kesalahan terbabit di Fasa 8, Presint 9, Putrajaya, antara jam 11 pagi hingga 1 tengah hari pada 9 Ogos lalu.

Nor Malisa mengaku tidak bersalah sebelum Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Azahan memohon tertuduh dikenakan ikat jamin tidak kurang RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pengasuh itu yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jaminan rendah atas alasan mempunyai tiga anak, termasuk seorang masih disusukannya.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta sebutan kes pada 28 September ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.