SHAH ALAM, 20 OGOS: Sebanyak tujuh gerai di medan selera bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK) mendaftar dengan Platform Selangor (PLATS) semalam.
Pihak berkuasa tempatan itu berkata peniaga di Medan Selera E-Library berbuat demikian pada program anjuran bersama PLATS Selangor.
"MPK bersama pasukan PLATS melaksanakan program Rakaman Promosi Dan Digitalisasi.
"Dalam program ini, rakaman promosi menu istimewa bagi setiap gerai dijalankan yang dihoskan oleh DJ Kieran," tulisnya di Facebook.
PLATS diperkenal Ramadan dua tahun lepas bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.
Setakat ini, platform maya berkenaan disertai 14,470 peniaga dengan kira-kira 10,000 mendaftar tahun lalu.
Individu berminat menyertai platform berkenaan boleh mendaftar menerusi laman sesawang http://www.platselangor.com.


